PENGANJURAN BERSIH 4.0 BELUM MEMENUHI AKTA PERHIMPUNAN AMAN 2012

81439998880_TajuddinMatIsa

KUALA LUMPUR: Penganjur Bersih 4.0 masih belum memenuhi ketetapan Akta Perhimpunan Aman 2012 bagi menganjurkan perhimpunan di Kuala Lumpur pada 29 dan 30 Ogos ini, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajuddin Md Isa.

Beliau berkata polis menerima notis pemberitahuan daripada pihak penganjur semalam, namun dokumen berkenaan tidak lengkap kerana tidak menyertakan kebenaran pemilik lokasi berhimpun.

"Mereka boleh menghantar dokumen itu pada bila-bila masa sebelum tarikh perhimpunan itu diadakan, selepas menerimanya baharu  kami akan mempertimbangkan permohonan mereka," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Akta Perhimpunan Aman 2012 antaranya memperuntukkan bahawa penganjur perlu memberi notis penganjuran kepada polis selewat-lewatnya 10 hari sebelum acara, dan denda sebanyak RM10,000 akan dikenakan sekiranya gagal berbuat demikian.

Di bawah akta itu, perhimpunan dilarang diadakan dalam lingkungan 50 meter dari tempat ibadat, stesen janakuasa elektrik, stesen minyak, terminal pengangkutan, tadika dan juga sekolah.

Dalam pada itu, Pengerusi BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah dalam kenyataan di laman rasmi Facebook BERSIH 2.0 menegaskan perhimpunan tetap akan dijalankan seperti dirancang.

Katanya, BERSIH 4.0 akan berkumpul sekitar atau kawasan paling hamper dengan Dataran Merdeka dan tidak akan mengganggu persiapan sambutan Hari Kebangsaan 2015 yang akan dilakukan di dataran itu oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Sebelum ini, polis meminta penganjur Bersih 4.0 mengubah lokasi perhimpunan yang dirancang di ibu kota termasuk di Dataran Merdeka dan Padang Merbok berikutan lokasi berkenaan dianggap tidak sesuai.
 
Perhimpunan Bersih 4.0 dijadual diadakan serentak di Kuala Lumpur, Kuching (Sarawak) dan Kota Kinabalu (Sabah).- ASTRO AWANI

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial