PENGGUNA BERSEDIA HADAPI CATUAN AIR

air-paip-300x200

JOHOR BAHRU – Rata – rata pengguna yang terlibat dengan pelaksanaan bekalan air berjadual sejak Ahad lalu telah melakukan persediaan menghadapi gangguan bekalan air.

Salah seorang pengguna, Raja Jaafar Raja Ali, 51 yang menetap di Permas di sini sejak 20 tahun lalu mengakui agak sukar menghadapi situasi ketiadaan bekalan air di rumah.

“Memang dari awal lagi sudah beli tong air dan baldi, nasib baik jadual penggiliran telah diberi lebih awal untuk persediaan.

“Pagi tadi ada air sehingga jam 11 pagi (esok) kemudian tiada air dua hari, dan akan berselang sehingga tarikh dimaklumkan,” katanya.

Manakala, bagi Khairul Mohd Ali, 30, dari Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang di sini berkata, dia tidak mengalami masalah besar susulan sistem bekalan berjadual.

“Memang telah dimaklumkan lebih awal dan pengguna boleh membuat persediaan menadah air.

“Selain membuat simpanan air, kami juga berulang alik ke rumah mak di Johor Bahru,” katanya.

Seramai 115,000 akaun pengguna di Pasir Gudang dan Kota Tinggi mula menerima bekalan air secara berjadual sejak 16 Ogos.

Pelaksanaan bekalan air berjadual tersebut dijangka tamat sehingga 15 September depan itu melibatkan sebahagian kawasan bandaraya ini, Pasir Gudang, Masai serta Mukim Tanjung Surat, Mukim Pengerang dan Mukim Pantai Timur dekat Kota Tinggi.

Syarikat Air Johor Holding Sdn Bhd (SAJ) sebelum ini memaklumkan bekalan air secara berjadual tersebut akan terbatal sekiranya paras air di empangan yang terlibat menunjukkan peningkatan sekaligus loji beroperasi pada kapasiti pengeluaran biasa dan seterusnya mendapat bekalan air sewajarnya.

Orang ramai dinasihatkan menyemak jadual pembahagian kawasan yang terlibat pada waktu tertentu sebagai memudahkan persediaan dan simpanan.

SAJ juga meminta orang ramai membuat laporan sekiranya berlaku sebarang kebocoran air untuk tindakan segera.

Maklumat lanjut boleh menghubungi SAJ Info Centre menerusi Talian Mesra 1800887474 atau 0197727474 atau email customer.care@saj.com.my yang beroperasi 24 jam atau merujuk di laman web SAJ atau laman sosial facebook “Setitis YANG Bermakna”.- SINAR HARIAN

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial