Peniaga, Penjaja Disaran Rebut Peluang Pembangunan di Iskandar Malaysia

JOHOR BAHRU, 25 Okt – Para peniaga dan penjaja di sekitar Johor Bahru disaran supaya merebut peluang hasil daripada pembangunan di bandar raya itu yang sedang rancak dijalankan, termasuk di seluruh kawasan Iskandar Malaysia.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata peranan mereka sangat penting dalam pembangunan di kedua-dua kawasan tersebut.

“Bandaraya Johor Bahru akan dibangunkan sebagai kawasan pelancongan yang menyasarkan kehadiran ramai pelancong ke situ.

“Malah, ia turut memberi peluang kepada para peniaga dan penjaja untuk mengambil manfaat di kawasan Iskandar Malaysia yang akan dibangunkan sebagai hab pelaburan, kesihatan serta pendidikan dan kemahiran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Jamuan Makan Malam sempena Sambutan Ulang Tahun Yang Ke-15 Persatuan Peniaga dan Penjaja Bandaraya Johor Bahru, malam tadi.

Majlis yang berlangsung di Restoran Grand Straits Garden Johor Bahru itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Negeri Johor, Datuk Tee Siew Kiong dan Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Bandaraya Johor Bahru, Roland Lim Chin Eng.

Mohamed Khaled turut berkata, peranan peniaga dan penjaja juga dilihat antara yang menjadi penyumbang kepada pembangunan ekonomi dalam keadaan Johor Bahru yang pesat membangun.

“Kita yakin dan percaya bahawa mereka antara golongan yang dapat menampung keperluan masyarakat dari segi kemampuan membeli terutamanya apabila berdepan cabaran kos hidup yang tinggi.

“Malah, melalui kegiatan perniagaan juga dapat mewujudkan peluang pekerjaan.

Mohamed Khaled turut berkata, pihak persatuan juga perlu memperluaskan lagi lingkungan perniagaan mereka melangkaui kawasan bandar raya Johor Bahru.

“Perkara itu akan memastikan kehadiran dan kedudukan mereka dan lingkungan yang lebih luas itu akan menjadi platform ketika berhadapan dengan cabaran,” katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial