Penjawat Awam Harus Lakukan Transformasi

KOTA TINGGI : Penjawat awam diminta melakukan transformasi dalam kerja harian kerana ia merupakan komponen penting dalam menggapai matlamat wawasan 2020.

Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata sebagai kakitangan awam merupakan pelaksana dasar dan  perlu  memastikan matlamat berkenaan  dapat direalisasikan.

Bagi tujuan itu, katanya penjawat awam perlu menongkah arus dan menerima realiti zaman kini sudah berubah dengan begitu cepat.

"Era kerajaan tahu segala-galanya sudah berakhir. Kini adalah zaman di mana perkongsian idea dan pendapat di antara kerajaan dengan rakyat.

"Justeru itu, penjawat perlu mengamalkan lima prinsip iaitu berilmu, kebolehopercayaan, mengamalkan budaya kerja yang terbaik, bersemangat patriotik dan budaya keberhasilan yang bersifat 'outcome based' sebagaimana yang disarankan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak sebelum ini," katanya.

Jelas beliau, pihaknya percaya sekiranya lima prinsip terbabit diamalkan, usaha kerajaan untuk mentransformasikan penjawat awam akan terus dapat diperkukuhkan lagi pada masa depan.

"Jika penjawat awam dapat memegan prinsip itu, sudah tentulah segala bentuk  kelemahan seperti ketirisan, rasuah dan salah guna kuasa dalam kerajaan dapat diatasi. Setiap penjawat awam memegang tanggungjawab untuk memastikan setiap persepsi negatif rakyat terhadap kerajaan dapat ditangkis.

"Harus diingat, rakyat kini adalah sebuah masyarakat yang berilmu dan mereka bijak menilai prestasi serta perkhdimatan setiap daripada kita di sektor awam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) di sini, Ahad lalu.

Dalam ucapannya itu, beliau berkata pihaknya tetap yakin semua penjawat awam di negara ini khususnya di Johor mampu mengekalkan kecemerlangan prestasi mereka pada masa depan.

Katanya, keyakinan itu diperkukuhkan apabila Perdana Menteri ketika membentangkan laporan tahunan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) baru-baru ini menjelaskan tahap produktiviti penjawat awam sudah meningkat sebanyak 2.3 peratus pada 2013.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Pengerang, Dato’ Seri Azalina Othman Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ismail Karim dan Pengurus Besar KEJORA, Dato’  Azizan Md Rais.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial