Pentingkan nilai, berbudaya tinggi dan teguh pada prinsip rahsia UMNO JOHOR diyakini rakyat: MB

PASIR GUDANG: UMNO Johor kekal diyakini rakyat kerana ia mementingkan nilai, berbudaya tinggi dan teguh pada prinsip.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata, cara Johor, ialah mendamaikan dan mengajak semua pihak ke arah muafakat kerana semuanya adalah bahagian penting dalam keluarga besar UMNO.

Katanya, apabila mantan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin digugurkan, UMNO Johor mengambil pendirian untuk menghormati keputusan Perdana Menteri. Tetapi, menyeru semua pihak agar terus menghormati beliau sebagai Timbalan Presiden parti.

“UMNO hanya ada satu Nakhoda, iaitu Presiden UMNO dan kita mesti memberikan kepercayaan untuk dia mengemudi bahtera ini.  Tetapi hormat kami tidak akan berkurang pada Timbalan Presiden.

“Kita menyeru agar Timbalan Presiden terus dihormati. Mana mungkin kami akan membelakangkan beliau hanya kerana beliau sudah bukan lagi Timbalan Perdana Menteri. Persabahatan kami bukan kerana darjat, bukan kerana pangkat, bukan kerana gelaran dan sama sekali bukan sekadar upacara dan martabat.

“Inilah UMNO Johor. Mementingkan nilai, berbudaya tinggi dan teguh pada prinsip. Kerana itu, UMNO terus diyakini di Johor. Bak pesan Datuk Laksamana Hang Tuah, menurut biar akal, menentang biar beradap,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Pasir Gudang 2015 yang dirasmikan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.

Mohamed Khaled yang juga Menteri Besar Johor, merangkap Ketua UMNO bahagian Pasir Gudang juga mahu pucuk pimpinan menyelesaikan segala kemelut yang sedang melanda parti bagi memastikan parti itu terus relevan.

Katanya, selain ahli UMNO, rakyat kebanyakan juga semakin keliru, skeptikal, pesimis dan mempersoalkan kewibawaan dan kredibiliti setiap penjelasan dan tindakan yang dilakukan.

“UMNO Pasir Gudang sangat prihatin dengan ini semua dan kita mengambil pendirian bahawa, ruang dan masa mesti diberikan kepada pucuk pimpinan Parti untuk perkara ini dirungkaikan. Atas sebab itulah, kami alu-alukan dan menghargai janji Datuk Seri Presiden untuk menyelesaikan hutang berkaitan dengan 1MDB dalam masa enam bulan dan kami percaya, ianya akan tercapai.

“Kerana itulah kami menyatakan sokongan sebulat suara kepada Datuk Seri Presiden agar semua kemelut ini boleh diselesaikan. Diselesaikan dengan cara yang telus, terbaik dan yang mengangkat keadilan dan kebenaran,” katanya.

Beliau juga mahu kepimpinan parti menyelami keperitan rakyat yang terbeban dengan keadaan ekonomi masa ini dengan mewujudkan dasar ekonomi untuk semua rakyat.

“Kesenjangan jurang pendapatan rakyat amat ketara sekali. Kos sara hidup semakin membebankan. Golongan bawahan berasa semakin sukar melalui kehidupan harian dengan gembira dan tenang. Golongan menengah berasa sangat perit untuk menikmati kehidupan yang selesa. Sedangkan mereka semua bekerja keras. Sedangkan mereka semua rajin dan jujur.

“Dasar ekonomi kita yang memfokuskan kepada pendapatan tinggi nampaknya tidak seiring dan selari dengan kehidupan harian rakyat Malaysia. Malaysia memerlukan dasar ‘ekonomi untuk semua rakyat Malaysia’.

“Yang bukan berfokuskan kepada pendapatan semata-mata. Tetapi berfokuskan kepada kesejahteraan. Yang membolehkan, sesiapa jua, walau dengan pendapatan yang kecil, berpeluang menjalani kehidupan yang bermakna dan bermaruah,” katanya.

 

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial