Penulis Perlu Bantu Masyarakat, Negeri Jadi Lebih Baik

JOHOR BAHRU, 15 Julai – Golongan penulis perlu menggunakan segala kedudukan, kelebihan, pengalaman dan bakat untuk membantu membina sebuah masyarakat dan negeri yang lebih baik.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata memperbaiki masyarakat dan negara bukan hanya tugas kerajaan, sebaliknya tanggungjawab semua pihak.

“Penulis yang mempunyai tugas dan tanggungjawab bukan sahaja kepada diri dan minat semata-mata tetapi turut berperanan kepada pembaca dan masyarakat umum.

“Peranan serta tanggungjawab ini bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan dan diambil mudah. Sebaliknya, sudah tiba masanya untuk kita memandangnya dalam konteks yang lebih besar dan bermakna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Jubli Emas oleh Persatuan Penulis Johor (PPJ) di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, Johor Bahru, dekat sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Datuk Zulkurnain Kamisan; Setiausaha Kerajaan Johor, Dato’ Azmi Rohani; Ketua 1 Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Datuk Zainal Abidin Borhan dan Ketua 1 Persatuan Penulis Penulis Johor, Amiruddin Md. Ali Hanafiah.

Menurut Mohamed Khaled, para penulis juga perlu menggunakan segala kelebihan yang ada untuk membantu kerajaan negeri mendekati dan menyantuni masyarakat menerusi penulisan yang kreatif, bermaklumat, merangsang pemikiran, bermoral dan bertanggungjawab.

“Bahan bacaan dan penulisan hari ini sudah bebas diterbitkan. Tanpa halangan, tanpa suntingan dan tanpa saringan moral dan etika.

“Natijahnya, wujudlah lambakan bahan penulisan yang tidak berkualiti. Malah, banyak yang hanya merendahkan pemikiran dan kematangan masyarakat kita, khususnya anak muda,” katanya.

Beliau turut mengajak semua penulis untuk terus berkomunikasi dan berhubung dengan kerajaan negeri.

“Didiklah masyarakat di Johor dengan maklumat yang benar dan seimbang. Sekiranya ada kekurangan sampaikanlah kepada kami agar dapat diperbetulkan keadaan dan diusahakan menjadi lebih baik.

“Bukannya menyebar dan mensensasikannya sehingga melemahkan semangat masyarakat yang menyimpan harapan besar kepada kerajaan dan negeri,” jelasnya.

Menurut beliau lagi, kerajaan negeri sentiasa mengiktiraf dan menghargai sokongan dan sumbangan para penulis kepada masyarakat dan Johor.

Katanya, para penulis diberi pengiktirafan secara konsisten melalui penganugerahan dwitahunan Hadiah Sastera Darul Ta’zim.

Pada majlis sama, Mohamed Khaled turut melancarkan Antologi Puisi 50 Tahun PPJ : Pemikir Bangsa dan pelancaran 50 Karya Penulis Johor.

Sementara itu, Sasterawan Johor 2016, Shapiai Mohd Ramly dinobatkan johan Sayembara Penulisan Puisi Muafakat Johor.

Beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 beserta plak dan sijil penghargaan.

 

 

 

 

 

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial