PENYAKIT MENINGKAT KETIKA JEREBU MINGGU LALU – DR. FATIMAH OTHMAN

MUAR – Penyakit batuk, sakit tekak, pedih mata, gatal kulit dan demam di negeri ini menunjukkan peningkatan mendadak berikutan jerebu teruk yang melanda minggu lalu.

Timbalan Pengarah Kesihatan negeri, Dr Fatimah Othman berkata, masyarakat perlu mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengutamakan penjagaan kesihatan bagi mengelakkan keadaan bertambah serius.

“Mereka perlu banyak minum air kosong kira-kira lapan gelas sehari untuk mengelakkan hidrasi termasuk minum jus atau makan buah-buahan dan sayur-sayuran.

“Amalan ini dapat melawan masalah itu selain makan makanan yang dimasak sendiri di rumah atau di kedai tertutup untuk mengelakkan kesihatan terjejas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Panel Penasihat Klinik Kesihatan Peringkat Daerah kali ketiga 2015 di Sekolah Dato’ Seri Amar Diraja, semalam.

Program tersebut dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kesihatan negeri, Datuk Ayub Rahmat.

Hadir sama, Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan negeri, Datuk Hashim Rais dan Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan daerah, Ab Kahar Mahsuri.

Katanya, mereka juga dinasihatkan cuba mengelakkan daripada mengambil minuman mengandungi kafein dan kandungan garam tinggi yang boleh menyebabkan kita kerap buang air kecil dan seterusnya menyebabkan hidrasi.

Sementara itu, Ayub berkata, kerajaan negeri akan terus memantau keadaan jerebu berikutan terdapat 256 titik panas baharu dikesan di Sumatera, Indonesia kelmarin.- SINAR HARIAN

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial