Penyampaian Perkhidmatan PBT Johor Perlu Lebih Produktif, Kreatif dan Inovatif.

JOHOR BAHRU, 8 Ogos – Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Johor disaran untuk memastikan sistem perkhidmatan PBT yang lebih produktif, cekap, amanah dan telus.

Menteri Besar Johor,Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata wujud keperluan yang sangat mendesak untuk tujuan tersebut, malah ia perlu lebih moden, kreatif dan inovatif.

“Adalah mustahil untuk Ahli Majlis berperanan positif jika PBT, governan dan birokrasinya tidak berubah seiring dengan perubahan dan fungsi kerajaan moden.

“Malah, budaya yang lama, sistem yang perlahan dan birokrasi harus berakhir kerana jika tidak semuanya akan hanya merumitkan proses penyampaian perkhidmatan kerajaan.”

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Konvensyen Ahli-ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Johor Sesi 2016/2017, di Persada Johor, semalam.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Dato’ Ismail Karim dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Abd. Latif Bandi.

Mohamed Khaled menegaskan terdapat lima perkara yang perlu dilakukan oleh PBT agar negeri Johor boleh menjadi perintis kepada kejayaan tersebut, sekaligus meningkatkan kecekapan sistem penyampaian kerajaan negeri.

“Pertama, pembangunan modal insan mesti menjadi sasaran dalam setiap perancangan, pembangunan dan pengurusan sumber manusia PBT.

“Kedua, PBT perlu memfokuskan kepada peningkatan inovasi serta kreativiti, dan ketiga pula mereka harus mempunyai strategi pengukuhan kewangan sendiri.

“Perkara keempat, PBT negeri Johor harus mewujudkan persekitaran yang lestari dalam masyarakat, manakala yang terakhir mereka harus mempunyai sistem komunikasi yang menyeluruh dan berkesan,” katanya.

Tambah beliau lagi, kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan adalah suatu perkara yang amat kritikal.

“Perkara ini menjadi semakin mendesak kerana keperluan dan perubahan corak kehidupan rakyat, juga dipacu teknologi maklumat, komunikasi dan kemajuan sains.

“Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab Ahli Majlis untuk memberi pencerahan kepada rakyat mengenai pelbagai dasar kerajaan termasuklah menterjemahkan Johor Berkemajuan,” katanya.

Pada majlis sama, beliau turut melancarkan Buku Pelan Transformasi PBT dan Hari Terbuka Pelan Transformasi PBT Negeri Johor.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial