Penyediaan dan selenggaraan kemudahan awam dipertingkat

IMG_9775cable1

 

Unit Inspektor Jalan dan Perkhidmatan Jalur Lebar antara keutamaan

Oleh Sofiayana Ellmy Sukor

INFRASTRUKTUR dan kemudahan awam sedia ada di Johor akan terus dibangunkan atau dinaiktaraf bagi memastikan keperluan rakyat terus diberi keutamaan malah berada pada tahap terbaik. Menerusi Pelan Suara Hati Johor yang disediakan Kerajaan Negeri dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM), beberapa perkara dikenalpasti menerusi kajian yang dilakukan.

Terkini, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Kerjaraya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sedang merangka dan menyusun untuk melaksanakan semua keperluan rakyat yang dikenalpasti.

Pengerusinya, Datuk Ir Hasni Mohammad, berkata hasil kajian menunjukkan majoriti penduduk Johor telah menikmati kemudahan asas secara keseluruhan walaupun masih ada sejumlah kecil  belum menikmati bekalan air dan elektrik kerana faktor lokasi kediaman jauh dari saluran bekalan.

Unit Inspektor Jalan dan Mengatasi Masalah Jalan Kampung

Mengenai jalan raya, Hasni berkata infrastruktur itu di negeri ini tidak mempunyai sebarang masalah dan kebanyakan jalan raya berada pada tahap yang baik.

Beliau menambah, Kerajaan Negeri juga bersetuju menubuhkan Unit Inspektor Jalan bagi mengenalpasti jalan yang rosak dan pemulihan dilakukan segera.

Di samping itu, katanya pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) bertaraf profesional dilantik untuk memantau kerja baikpulih dan memastikan rangkaian jalan raya Persekutuan dan Negeri dalam keadaan yang terbaik selain mengurangkan kawasan hitam yang dikaitkan dengan kemalangan.

Berkenaan jalan dan permohonan lampu jalan kampung, Hasni berkata sehingga kini hampir seluruh kampung telah mempunyai jalan dan lampu jalan.

Beliau berkata, walaupun terdapat permohonan untuk melebar dan menambah lagi jalan serta lampu jalan di beberapa kampung, pihaknya serta beberapa organisasi seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan JKR sedang menimbangkan permohonan tersebut.

“Semua permohonan sedang diteliti dan kita akan memberikan keputusan secepat mungkin. Kawasan kampung yang gelap dan laluan jalan yang sempit merupakan antara sebab permohonan ini diajukan,” katanya.

Selain itu, melalui peruntukkan Bajet Johor 2015, sebanyak RM600 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi kerja penyelenggaraan rangkaian jalan di seluruh negeri. Kerajaan negeri melalui JKR akan memperuntukkan RM50 juta bagi tujuan pembangunan jalan dan jambatan negeri, mulai 2015.

Perkhidmatan Jalur Lebar

Sementara itu, katanya, Kerajaan Negeri akan menyediakan lima kawasan ‘hotspot’ sebagai permulaan perkhidmatan jalur lebar  melibatkan semua 15 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Johor.

Pemasangan ini turut melibatkan lebih kurang 70 ‘hotspot’ lain terutama lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai seperti dataran, terminal bas, pejabat kerajaan dan zon perniagaan.

Sebagai permulaan, Kerajaan Negeri akan melakukan tempoh percubaan selama sebulan melibatkan empat lokasi terpilih iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang dan Majlis Perbandaran Kulai.

“Setelah penilaian dilakukan, Kerajaan Negeri selanjutnya akan memperluaskan lokasi pemasangan tersebut di seluruh Johor seperti perancangan,” katanya.

 

ingoraphic

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial