Peranan Gerakan Kesukarelawan Perlu Diiktiraf

JOHOR BAHRU, 19 Mac – Kerajaan Negeri hari ini menyarankan agar peranan pelbagai badan dan gerakan kesukarelawanan perlu diberi pengiktirafan sewajarnya.

Menteri Besar Johor, Dato’Mohamed Khaled Nordin berkata, pengiktirafan tersebut adalah kerana ia menjadi asas dan penyuluh kepada pembangunan masa depan Johor dan Malaysia.

“Kita mesti pergi lebih jauh dan mencari jalan yang radikal untuk meyakinkan seluruh masyarakat bahawa kesukarelawan serta semangat memberi dan berbakti dibangunkan secara sukarela dan tanpa dipaksa.

“Sebagai contoh melalui aktiviti gotong royong atau kendarat yang dianggap sebagai bersifat kekampungan, tetapi sebenarnya itulah contoh terbaik yang mempunyai ciri-ciri negeri berkemajuan.

“Maka, Johor perlu dibangunkan menjadi negeri terbaik dan berkemajuan, kerana cara terbaik untuk memajukannya dan mencipta kesejahteraan adalah dengan menjadikan Johor sebati dengan dharmabakti dan sumbangsih rakyatnya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Program Rapat Sukarelawan (RASUK) 2017, di Hotel Holiday Villa, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Md. Jais Sarday, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan dan Pegawai Eksekutif Institut Integriti Kepimpinan dan Latihan Semangat Dato’Onn (IKLAS), Johan Ariffin Mohd Ropi.

Beliau menegaskan bahawa aktiviti kesukarelawan itu perlu dipertingkat kerana sifatnya itu sendiri yang bersedia menyumbang untuk perubahan yang positif.

“Mereka bersedia menyediakan waktu dan kudrat untuk melaksanakannya tanpa syarat, ganjaran mahupun imbuhan.

“Maka amatlah rugi jika mereka tidak didokong dan dimanfaatkan dengan dorongan dan semangat sebegini,” katanya.

Menurutnya lagi, gerakan kesukarelawanan itu juga berfungsi sebagai instrumen perubahan untuk mentranformasikan masyarakat dan membantu kerajaan menyelesaikan pelbagai isu yang tidak boleh diselesaikan dengan pendekatan biasa.

“Umum mengetahui potensi gerakan kesukarelawanan yang dilihat bebas, ikhlas dan proaktif kerana sukarelawan adalah mereka yang pro rakyat, pro kebaikan dan pro amal bakti.

“Malah, orang ramai juga tidak teragak-agak menghulurkan apa jua bantuan derma dan sumbangan jika ia digerakkan oleh NGO atau gerakan kesukarelawanan yang berwibawa.

“Ini kerana mereka hanya mahu menyumbang, membantu dan tidak mengharapkan apa jua ganjaran serta balasan,” katanya.

Tambahnya, aktiviti kesukarelawanan juga telah menjadi satu lagi gaya hidup moden Malaysia kerana banyak negara-negara maju seperti Eropah, Norway, Jepun, Jerman mahupun Korea Selatan mempraktikkannya.

“Ini membuktikan aktiviti kesukarelawanan menjadi pembawa obor pembaharuan kepada Johor dan masa depannya.

“Johor dan Malaysia sangat memerlukan anak-anak muda yang memiliki kekuatan yang mampu memberikan pengaruh yang besar terhadap perubahan bangsa,” katanya.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial