PERANG HARGA TAMBANG PENERBANGAN UNTUNGKAN PENGGUNA

TC_Perang_Tiket.transformed

KUALA LUMPUR: Perang harga tiket penerbangan domestik dijangka bertambah sengit tahun ini susulan pemulihan semula operasi Malaysia Airlines (MAS), selain daripada penyertaan syarikat penerbangan baru Rayani Air serta pengembangan berterusan AirAsia dan Malindo Air.

Meskipun pasaran penerbangan domestik pada 2016 dijangka terus berkembang lebih tinggi berbanding pertumbuhan 2.0 peratus pada 2015, iaitu kadar paling perlahan sejak 2006, namun persaingan dalam kalangan syarikat penerbangan dijangka menjadi lebih hebat pada tahun ini berbanding tahun lalu.

Keadaan itu dijangka mencetuskan tekanan ke atas harga tambang penerbangan domestik, sekali gus memanfaatkan dan menyediakan lebih pilihan kepada pengguna. Bahagian pasaran penerbangan domestik dari segi kapasiti masih dikuasai MAS dan AirAsia, masing-masing dengan 45 peratus, diikuti Malindo Air dengan 9.0 peratus dan Rayani Air (1.0 peratus).

Pusat Penerbangan Asia Pasifik (CAPA) berkata, harga tambang penerbangan domestik di Malaysia adalah amat rendah ketika ini, setelah menikmati rangsangan pertumbuhan ekoran perkembangan pesat operasi AirAsia sejak 13 tahun lalu.

“Mengambil kira jumlah penduduk, iaitu kira-kira 30 juta, dan keadaan ekonomi yang masih tidak menentu, maka peluang (pasaran penerbangan domestik) mencatat pertumbuhan tinggi adalah terhad.

“Harga tambang yang sudah rendah mungkin terpaksa diturunkan lagi untuk membolehkan pasaran terus menikmati pertumbuhan,” kata agensi penyelidikan pasaran penerbangan itu dalam nota penyelidikannya baru-baru ini.

Rayani Air, syarikat penerbangan yang baru beroperasi menjelang akhir bulan lalu, menawarkan produk perkhidmatan penuh termasuk bagasi dan makanan. Ia kini menawarkan tambang inklusif sehala serendah RM49 bagi perjalanan dari Kota Bahru ke Kuala Lumpur dan RM70 dari Langkawi ke Kuala Lumpur .

Walaupun tambang ini adalah promosi laluan domestik utama di Malaysia, namun ia mencerminkan persaingan sengit yang bakal ditempuhi syarikat penerbangan di negara ini sepanjang tahun ini.

Sementara itu, Malindo Air bertindak untuk mengekalkan pendedahannya dalam persaingan di peringkat domestik pada paras minimum. Ia merancang untuk mengekalkan kapasiti yang agak kecil di laluan utama dari KLIA, yang mana sebahagian besarnya digunakan untuk penumpang menyambung perjalanan ke rangkaian antarabangsa.

MAS, juga memiliki syarikat penerbangan komuniti, FireFly, juga akan cuba menumpukan dalam aktiviti menghubungkan perjalanan penumpang, namun berdasarkan operasi domestik sedia adanya yang agak besar, maka ia perlu bersaing secara agresif setelah ia menyambung semula strategi pengembangan di dalam negara.

AirAsia pula ketika ini berada pada kedudukan yang agak mantap kerana ia masih mempunyai asas kos yang paling rendah di Malaysia. Namun begitu, peningkatan kecekapan operasi MAS dijangka menyaksikan jurang kosnya dengan AirAsia semakin ketara mengecil, sekali gus akan mencetuskan persaingan yang lebih hebat.

MAS memiliki operasi domestik yang besar di Subang menerusi FireFly, sementara itu sebuah lagi anak syarikatnya, MASwings pula mengendalikan penerbangan domestik di Malaysia Timur. Kira-kira 55 peratus kapasiti domestik MAS adalah menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), manakala AirAsia adalah dengan 70 peratus dan Malindo Air dengan 37 peratus.

Dari segi kekerapan perjalanan, 33 peratus penerbangan domestik kumpulan MAS adalah menerusi KLIA dan klia2, manakala Malindo Air dengan 20 peratus kerana ia juga menggunakan pesawat turboprop menerusi Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, di Subang. Bagi AirAsia, bahagian kekerapan penerbangan domestiknya adalah 70 peratus di KLIA dan klia2, kerana ia hanya menggunakan pesawat A320s.

“Sektor penerbangan domestik Malaysia adalah antara pasaran yang akan dipantau secara rapat pada 2016. Lebihan kapasiti dan penurunan hasil adalah antara kebimbangan utama,” kata CAPA.- BERITA HARIAN

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial