Perbezaan Agama Bukan Halangan Capai Perpaduan Di Johor – MB

img_1187

JOHOR BAHRU, 25 Nov – Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin hari ini mengajak semua rakyat agar dapat mendukung aspek perbezaan dalam kehidupan bermasyarakat.

Beliau berkata, sebagai sebuah negara yang majmuk, adalah menjadi suatu keutamaan untuk bersama-sama mendukung perkara tersebut.

“Setiap individu itu berbeza dari segi agama dan kepercayaan, tetapi ia bukanlah suatu masalah kerana semua agama menganjurkan amalan yang baik kepada penganutnya.

“Masalah hanya akan timbul jika mereka gagal dan enggan untuk menguruskan aspek perbezaan itu dengan baik.

“Untuk itu, ia perlu dipertahankan dan disuburkan kerana akhirnya ia akan membawa kepada kekuatan dan kemajuan negara,” katanya pada Majlis Makan Malam Persatuan Komuniti India Kristian Johor, di Restoran Grand Straits Garden, di sini, malam tadi.

Turut hadir Pengerusi myPPP Malaysia, Tan Sri Datuk Seri M. Kayveas; Pengerusi Perhubungan myPPP Negeri Johor, Datuk Dr. Siva Kumar; Presiden Persatuan Indian Pastor Fellowship Johor Bahru, Joshua Singarajoo dan Presiden Persatuan Komuniti India Kristian Johor Bahru, Reverend John Muniandy.

Beliau juga turut menegaskan mengenai kepentingan untuk menjaga nilai perpaduan dan kesatuan secara saksama.

Menurutnya, kedudukan negeri juga akan terancam dan akan berhadapan dengan puak ekstremis yang merosakkan perpaduan jika kedua-duanya tidak dijaga dengan baik.

Pada majlis tersebut, beliau telah meluluskan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi tujuan pembangunan aktiviti.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial