Perjalanan Gelang Patah – Tanjung Bin Jadi Lebih Singkat

PONTIAN, 5 Mac – Perjalanan daripada Tanjung Pelepas di Gelang Patah, Johor Bahru ke Tanjung Bin di Serkat, dekat sini bakal menjadi lebih singkat melalui jambatan dan jalan baharu yang bakal dibina bagi menghubungkan kedua-dua kawasan tersebut.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata projek pembinaan jambatan dan jalan Tanjung Bin – Gelang Patah yang membabitkan kos RM650 juta itu akan dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan dan anak syarikat MMC Corporation Bhd, Seaport Worlwide Sdn Bhd.

Beliau berkata, projek tersebut sedang dalam proses kemaskini rekabentuk sebelum diluluskan oleh Jabatan Kerja Raya negeri.

Projek berkenaan akan mula dilaksanakan mulai September ini dan dijangka siap menjelang Ogos 2020.

“Projek yang merentasi Sungai Pulai ini melibatkan jarak kira-kira 7.5 kilometer dan akan memendekkan perjalanan dari Johor Bahru ke Tanjung Bin kepada 15 kilometer. Ini berbanding 50 kilometer sebelum ini dengan menggunakan jalan alternatif Pekan Nanas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika mengadakan lawatan kerja seharinya ke kawasan Parlimen Tanjung Piai di sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata projek itu akan membawa limpahan ekonomi kepada penduduk memandangkan lebih banyak sektor pembangunan bakal diusahakan di kawasan sekitarnya.

Sementara itu, dalam sidang media yang sama, Mohamed Khaled berkata, Kerajaan Negeri juga mempertimbangkan permohonan daripada penduduk setempat untuk mendapatkan rumah mampu milik.

“Kita akan membeli sebidang tanah seluas 12.14 hektar di kawasan Jeram Batu menggunakan dana dari Tabung Hartanah Bumiputera untuk melaksanakannya, sekaligus memastikan kawasan ini berkembang secara seimbang,” katanya.

Beliau menambah, perkara itu juga akan diperluaskan ke kawasan-kawasan lain di negeri ini.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial