Perkhidmatan Pengangkutan Awam Yang Cekap akan Di Bangunkan

jauhar

JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri bersedia untuk menyediakan satu perkhidmatan pengangkutan awam yang cekap khususnya di kawasan yang sedang mengalami pembangunan pesat seperti di Iskandar Malaysia.

Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, perkhidmatan teksi memainkan peranan penting terhadap pembangunan dan kemajuan negeri.

Ujarnya lagi, pemandu teksi perlu proaktif dan melengkapkan diri dengan menguasai bahasa antarabangsa bagi memastikan mereka dapat berkomunikasi dan memberi khidmat terbaik sewaktu berurusan dengan pelanggan.

"Jumlah kemasukan pelancong asing ke negeri ini sentiasa meningkat dan mereka banyak bergantung kepada perkhidmatan teksi untuk bergerak, justeru adalah penting untuk pemandu teksi di negeri ini mampu berkomunikasi dengan baik.

"Pelbagai institusi telah menyediakan kursus mempelajari bahasa tersebut, jadi saya berharap pemandu teksi mempunyai sikap proaktif dan belajar mempertingkat kemahiran berbahasa mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan Kali Ke-19 Koperasi Pemandu-Pemandu Teksi Bandaraya Johor Bahru Berhad, di sini Sabtu lalu.

Sehubungan itu, Mohamed Khaled berkata pihaknya akan meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) mewujudkan unit pengangkutan yang bertujuan untuk merangka pelan terbaik dalam usaha mempertingkat mutu perkhidmatan dan juga menyelesaikan masalah berkaitan.

"Selain itu juga, pihak Perbadanan Perkhidmatan Awam Iskandar Malaysia (PAIM) sedang giat membangunkan suatu aplikasi telefon pintar yang bertujuan untuk turut meningkatkan mutu perkhidmatan teksi.

"Aplikasi tersebut dibangunkan dengan kos keseluruhan RM130,000 dan dijangka akan diperkenalkan kepada masyarakat bermula Ogos tahun ini," ujarnya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Wilayah Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Wilayah Selatan, Mustafa Mohd. Jizat dan Pengerusi Koperasi Pemandu-Pemandu Teksi Bandaraya Johor Bahru Berhad, Mahzaban Md. Amin.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial