Perlembagaan asas perpaduan – MB

PASIR GUDANG: Cubaan untuk mengubah perlembagaan negara yang sudah termaktub sejak sekian lama akan mengundang kepada perpecahan dalam negara.

Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata, undang-undang tertinggi negara itu adalah asas yang membolehkan rakyat berbilang kaum di negara ini hidup bersatu padu dan memahami antara satu sama lain.

Katanya, perlembagaan negara yang termaktub sejak 1957 tersebut mengambil kira kewujudan, keadilan dan kesaksamaan membela semua kaum dalam negara ini.

“Kita boleh cakap perlembagaan ini dihasilkan melalui muafakat antara rakyat semua kaum dahulu.

"Hari ini sudah ada cakap-cakap tidak hendak lagi perlembagaan dan hendak tukar semua sekali, kalau kita tidak jaga apa yang terdapat di dalam perlembagaan ini, ia boleh jadi asas perpecahan dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Program Muafakat Komuniti 1 Malaysia di UniKL di sini semalam.

Hadir sama pada majlis itu ialah Speaker Dewan Negeri Tan Sri Mohamad Aziz.

Mohamed Khaled berkata, Perlembagaan negara lahir daripada unsur kompromi, kesederhanaa, toleransi dan ia menggariskan rangka hubungan dalam pelbagai aspek termasuk sosial dan ekonomi rakyat berbilang kaum di negara ini.

“Ia lahir daripada kompromi antara kaum, lahir daripada toleransi dan ia adalah perlembagaan yang sederhana sifatnya (tidak ekstrem) dan mengambil kira kepentingan semua kaum," jelasnya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial