Perlu Lebih Banyak Rumah

Ismail menunjukkan kawasan pembangunan Iskandar Malaysia

JOHOR BAHRU, 3 April – Iskandar Malaysia memerlukan kira-kira 1.2 juta unit kediaman menjelang tahun 2025, bagi memenuhi permintaan penduduk koridor tersebut yang dijangka meningkat.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (Irda), Datuk Ismail Ibrahim berkata, populasi penduduk di Iskandar Malaysia dijangka meningkat sehingga tiga juta orang daripada jumlah semasa iaitu 1.8 juga orang.

Menurutnya, setakat ini, terdapat lebih kurang 700,000 unit kediaman di Iskandar Malaysia, dan jumlah itu bermakna projek perumahan baharu dan akan datang, mampu memenuhi permintaan penduduk yang akan bertambah.

“Menjelang tahun 2025, populasi di Iskandar Malaysia bakal mencecah tiga juta penduduk, dengan 1.4 juta tenaga kerja. Berdasarkan anggaran ini, kita memerlukan kira-kira 1.2 juta unit rumah.

“Sekarang, jumlah kediaman di Iskandar Malaysia lebih kurang 700,000 unit. Jadi terdapat kekurangan dalam 500,000 unit untuk tempoh 10 tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pertemuan bersama Ketua Biro di pejabat Irda, Danga Bay, baru-baru ini.

Ismail berkata, permintaan perumahan di wilayah tersebut dijangka meningkat berikutan kadar pertumbuhan tahunan antara tujuh ke lapan peratus yang direkodkan di Iskandar Malaysia dalam tempoh tiga tahun lalu.

“Kadar pertumbuhan ini adalah lebih tinggi daripada kadar pertumbuhan negara iaitu antara 4.5 peratus ke 5.5 peratus.

“Angka ini memberitahu kita bahawa ekonomi semakin pesat membangun, dan akan ada lebih ramai individu dengan pekerjaan yang baik dan bergaji tinggi sekali gus berlaku pertambahan jumlah keluarga di sini. Ramai yang akan berpindah ke Iskandar Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, kebimbangan berlaku lebihan penawaran perumahan di Iskandar Malaysia hanya bersifat sementara, namun pemaju digesa menyediakan kediaman pada harga yang tepat untuk memenuhi permintaan pembeli. – Sinar Harian

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial