PERSADA Annexe Untuk Bantu Bumiputera

JOHOR BAHRU, 16 Mei – Johor Corporation akan membangunkan pusat perniagaan PERSADA Annexe sebagai perangsang dan sokongan untuk golongan Bumiputera terus berniaga dan menjadi usahawan berjaya.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, ia sebahagian daripada usaha dalam pembangunan Ibrahim International Business District (IIBD) yang menyaksikan inisiatif khusus bertujuan mewujudkan keseimbangan demografi dalam sektor keusahawanan.

“Ini untuk memastikan lebih ramai Bumiputera, khususnya golongan muda, terlibat dalam keusahawanan. Kita tidak mahu lagi golongan Bumiputera hanya berniaga kecil-kecilan di pinggir desa atau di ceruk kampung.

“Meletakkan keusahawanan atau perniagaan sebagai ciri eksklusif kepada sesetengah kaum sahaja adalah satu pemikiran yang salah dan mentaliti sebegini mesti kita neutral dan pulihkan kembali,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Kemudahan Awam IIBD di Persada Johor, yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.

Tambah beliau, pusat perniagaan itu yang berkeluasan 83 ribu kaki persegi akan dibangunkan dengan kos RM43 juta dan bakal menempatkan sebanyak 200 ruang perniagaan khusus untuk usahawan bumiputera.

“Ia adalah penambahan daripada lebih 82 unit yang telah disediakan kepada para usahawan bumiputera oleh Johor Corporation di pusat membeli belah Galleria@Kotaraya dan KOMTAR JBCC Mall.

“Selain itu, sebanyak 16 kiosk di KOMTAR JBCC Mall telah disediakan bagi usahawan-usahawan dari golongan ibu tunggal dengan kadar sewaan RM125 sebulan untuk tempoh perniagaan setiap hujung minggu dari Jumaat hingga Ahad,” jelas beliau.

Tegas Mohamed Khaled, inisiatif khusus itu adalah cerminan komitmen serta keseriusan Kerajaan Negeri Johor dalam memastikan lebih ramai orang Bumiputera menjadi usahawan yang berjaya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial