Persatuan Bugis Johor Sokong Sultan Ibrahim

SERAMAI 100 ahli Persatuan Bugis Johor berkumpul bagi menyatakan sokongan terhadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, Batu Pahat, hari ini. – Foto Adi Safri

BATU PAHAT, 13 April – Seramai 100 ahli Persatuan Bugis Johor berkumpul bagi menyatakan sokongan terhadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, di sini, hari ini.Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu yang berhimpun di Rumah Kelab Batu Pahat di sini turut mengecam tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang didakwa mencampuri urusan negeri ini.

Pengerusi Persatuan Bugis Johor, Datuk Awang Muhammad, berkata himpunan aman itu diadakan bagi memberi peringatan kepada pihak luar supaya tidak sewenang-wenangnya cuba mengganggu-gugat semangat Bangsa Johor yang teguh bersatu.

Katanya, tindakan pihak luar termasuk Mahathir yang mengelirukan rakyat Johor sehingga masyarakat berpecah-belah juga hanyalah untuk kepentingan politiknya semata-mata. “Hasutan untuk menakut-nakutkan rakyat Johor ini tidak lain untuk melihat negeri ini gagal mencapai kejayaan lebih besar terutama ketika kerajaan negeri berusaha keras membawa pelaburan luar masuk.

“Oleh itu, teguran Sultan Johor supaya rakyat negeri ini supaya berfikir secara logik dan tidak terikut dengan dakyah palsu yang cuba meracuni pemikiran kita, perlulah ditaati dan diinsafi.

“Kita sebagai rakyat Johor juga harus kekal bersatu hati menolak campur tangan pihak luar ini dan menyokong sepenuhnya segala usaha yang dilakukan Sultan Johor dan kerajaan negeri bagi memakmurkan negeri ini,” katanya pada sidang media di sini.

Terdahulu, ahli Persatuan Bugis Johor turut melaungkan ‘Daulat Tuanku’ sebagai taat setia kepada Sultan Johor selain menjunjung kasih peringatan baginda supaya rakyat Johor kekal bersatu.

Sebelum ini, Sultan Ibrahim memberi amaran kepada ahli politik luar supaya tidak tunjuk pandai dan mencampuri urusan negeri ini.

Baginda bertitah, jangan cuba menakut-nakut serta mengelirukan rakyat Johor dengan cerita dongeng yang direka-reka sehingga masyarakat berpecah-belah. – BERITA HARIAN.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial