Persatuan Penulis Johor Sokong Sekolah Satu Aliran

JOHOR BAHRU, 4 Nov – Persatuan Penulis Johor (PPJ) menyokong penuh saranan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pada majlis Himpunan Bangsa Johor di Johor Bahru, semalam, agar sekolah satu aliran diwujudkan dengan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bagi mengatasi masalah perpaduan kaum.

Ketua 1 PPJ, Amiruddin Md Ali Hanafiah, berkata pihaknya menyifatkan Sultan Johor sebagai Raja yang amat memahami Perlembagaan yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Cadangan Baginda agar menjadikan bahasa Melayu sebagai satu-satunya bahasa pengantar di sekolah adalah tepat dan wajar diambil tindakan oleh kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan.

“Saranan Baginda bukan bermakna mengenepikan bahasa kaum lain kerana Baginda juga menitahkan bahasa Cina dan Tamil masih boleh diajarkan di sekolah,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas titah Sultan Ibrahim ketika menghadiri majlis Himpunan Bangsa Johor yang diadakan di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) di sini, semalam.

Amiruddin berkata, PPJ berpendapat peribahasa di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung yang dititahkan Baginda perlu difahami rakyat negara ini dan berharap semua kaum memahami prinsip bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan.

“Justeru, rakyat negara ini perlu tahu berbahasa Melayu kerana inilah negara tumpah darah mereka. Kekecewaan Baginda terhadap rakyat Malaysia yang tidak boleh berbahasa Melayu adalah suatu yang perlu dipandang serius oleh semua pihak dan rakyat negara ini. ”

Oleh itu, PPJ mencadangkan program intensif berbahasa Melayu perlu diwujudkan oleh semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik khususnya untuk pelajar yang masih tidak boleh menggunakan bahasa Melayu dengan baik,” katanya. – Berita Harian

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial