Persatuan Warga Emas Johor Bahru Menerima Peruntukan RM150,000

mb-warga-emas

JOHOR BAHRU, 9 Okt – Kerajaan Negeri hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM150,000 kepada Persatuan Warga Emas Johor Bahru sebagai usaha membantu golongan berkenaan terus kekal aktif.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah Kerajaan Negeri itu juga membuktikan ia tidak meminggirkan golongan itu daripada turut menikmati limpahan manfaat daripada kerancakan pertumbuhan dan pembangunan negeri.

“Kita perlu sentiasa memberi perhatian kepada warga emas dan percaya mereka perlu menjalani kehidupan dengan penuh kehormatan, keselamatan yang terpelihara serta bebas daripada sebarang bentuk permasalahan.

“Ini kerana, mereka juga memainkan peranan dan wajar diberikan ruang dalam agenda sosio budaya dan ekonomi dengan menjadi sandaran dan sumber nasihat bagi perkongsian ilmu, pengalaman dan kepakaran untuk generasi muda.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-28 Persatuan Warga Emas Johor Bahru dan Hari Warga Emas Sedunia 2016 di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad merangkap Penaung Persatuan Warga Emas Johor Bahru dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Asiah Md Ariff.

Tambah Mohamed Khaled, Kerajaan Negeri bercadang menambah bilangan Pusat Aktiviti Warga Emas yang kini berjumlah enam pusat di seluruh negeri.

Tambahnya, pusat itu berfungsi bukan sahaja sebagai pusat sehenti bagi menjalankan pelbagai aktiviti berbentuk ilmiah, kemahiran serta keagamaan, tetapi juga bagi menghilangkan kebosanan dan mengatasi masalah kemurungan.

“Inilah nilai kesejahteraan yang mahu kita terus lakukan di Johor. Untuk merealisasikan impian Johor Berkemajuan, tanggungjawab ke atas setiap lapisan masyarakat tidak kira usia tetap digalas dengan cara yang terbaik.

“Malah, saya penuh yakin dan percaya bahawa usaha seumpama itu akan memastikan tiada sekelompok masyarakat pun yang tertinggal dalam arus kemajuan yang ingin kita cipta di negeri ini,” katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial