PERSEKITARAN KONDUSIF TARIKAN UTAMA PELABUR

AZMAN MAHMUD / MIDA

PASIR GUDANG 24 Ogos – Persekitaran kondusif dimiliki negara ini menjadi faktor utama yang berjaya menarik kemasukan pelaburan asing berskala besar dan bukannya disebabkan kejatuhan nilai ringgit.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud berkata, Malaysia merupakan lokasi pelaburan yang strategik bagi mana-mana negara yang hendak membuat pelaburan jangka masa panjang.

Menurutnya, pelabur asing memerlukan persekitaran pelaburan yang lengkap dengan kemudahan asas tersedia seperti keupayaan modal insan, sistem perbankan dan undang-undang kerajaan.

“Kemasukan pelaburan asing ke negara ini merupakan petanda baik terhadap sistem pendidikan negara, bukti kita memiliki modal insan yang diperlukan selain ekosistem pelaburan yang baik.

“Untuk jangka masa panjang, Malaysia merupakan destinasi pelaburan yang cukup menarik bagi syarikat luar,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran kilang getah poly-butadiene pertama di negara ini, Lotte Ube di Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat, di sini hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pe­lancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong serta Presiden Lotte Chemical, Huh Soo Young.
Sementara itu, Mohamed Khaled mengalu-alukan usaha Keraja­an Pusat untuk mengkaji impak cabaran global dan ketidaktentuan nilai ringgit secara menyeluruh.

“Langkah sedemikian perlu dalam usaha memastikan pe­la­buran oleh syarikat tempatan tidak terjejas, sekali gus memastikan me­reka boleh kekal bersaing dengan pelabur antarabangsa.

“Penting bagi syarikat tempatan membuat pelaburan, khususnya dalam bidang berkaitan pembangunan teknologi untuk kekal berada dalam pasaran,” katanya. – UTUSAN MALAYSIA

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial