Persidangan Wakaf Antarabangsa Johor 2016 Perluas Kefahaman Wakaf

KUALA LUMPUR, 31 Okt – Pengalaman Turki membina universiti, hospital dan pelabuhan menggunakan dana wakaf bakal dikongsi pada Persidangan Wakaf Antarabangsa Johor (PWAJ) 2016 di Johor Bahru, pada 7 dan 8 November ini.

Persidangan antarabangsa di Pusat Konvensyen Persada (PERSADA) itu akan menampilkan barisan panel dan pembentang kertas kerja dari Mesir, Kuwait, Indonesia dan Singapura selain Malaysia mengenai pelaksanaan konsep wakaf.

PWAJ 2016 yang dianjurkan kerajaan negeri Johor melalui Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dijadual dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, dengan sasaran penyertaan lebih 500 ahli akademik dan profesional.

Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ, Md Rofiki Shamsudin, berkata PWAJ yang julung kali diadakan bertujuan mendidik dan memberi kefahaman kepada masyarakat berhubung konsep wakaf, sekali gus menyuburkan amalan sedekah jariah yang dituntut Islam.

Katanya, persidangan dua hari itu akan menyaksikan pelancaran Tabung Wakaf Rakyat Johor yang dijadual disempurnakan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

“Kita mahu menggalakkan masyarakat berwakaf terutama dalam konteks tunai berbanding konvensional iaitu tanah atau bangunan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Antara ahli panel dari Malaysia yang akan berkongsi pengalaman ialah Penasihat MAINJ, Datuk Noh Gadut; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wakaf Malaysia, Prof Datuk Dr Sudin Haron; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Wakaf Selangor, Abu Bakar Yang dan Pengasas Pusat Pendidikan Al-Barakah, Datuk Kazim Elias.

Panel luar negara antaranya Ketua Pengarah Yayasan, Pejabat Perdana Menteri Turki, Davut Gazi Benli; Ketua Setiausaha Kuwait Awqaf Public Foundation, Mohammed Abdullah Al Jalahma dan Pengasas Institut Antarabangsa Wakaf Islam, Jordan, Dr Sami Al Salahat. – Berita Harian

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial