Pertahankan Semangat BN

JOHOR BAHRU, 4 Okt. -UMNO Johor akan terus mempertahankan semangat Barisan Nasional (BN) termasuk permuafakatan dan perkongsian kuasa antara parti komponen di Johor.

Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata, formula dan semangat BN itu sudah terbukti berjaya menguruskan negara ke tahap yang dikecapi sekarang ini.

“Formula BN selama ini terbukti berjaya menguruskan Malaysia. Jika kita gagal bekerjasama maka banyak masalah akan timbul.

“Marilah kita kembali kepada semangat Barisan Nasional.Marilah kita memperkukuhkan kembali Barisan Nasional.

“Oleh itu saya ingin yakinkan semua kawan -kawan dalam Barisan Nasional Johor, UMNO Johor akan terus mendukung dan tegas untuk mempertahankan semangat Barisan Nasional di Johor, katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Ulangtahun ke-70 MIC di Hotel Berjaya Waterfront di sini malam tadi.

fullsizerender-33
 Beliau yang juga Pengerusi BN negeri berkata parti komponan BN perlu bergerak secara bersama dan bekerjasama dengan lebih erat bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 tidak lama lagi.

“Sebagai parti komponen BN, kita perlu bergerak bersama-sama sama ada dalam merangka manifesto, menggerakkan sukarelawan, menyediakan bahan kempen dan meningkatkan lagi aspek komunikasi digital.

“Jangan sesekali UMNO, MIC, MCA dan parti komponen dalam BN bergerak sendiri. Saya yakin jika kita bergerak dan bekerja secara lebih erat, kita mampu mencapai kemenangan sebagaimana pilihan raya terdahulu,” katanya.

Beliau berkata, BN bakal berdepan PRU yang dianggap paling sengit termasuk dengan kewujudan beberapa parti baharu termasuk yang ditubuhkan oleh bekas pemimpin UMNO.

Katanya, kesemua parti komponen BN perlu bersiap sedia bermula dari sekarang bagi memastikan parti itu terus mendapat kepercayaan rakyat sekali gus mengekalkan kuasa sebagai pentadbir negara.

Hadir sama pada majlis itu ialah Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan; Timbalannya, Datuk Seri SK Devamany yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri; Pengerusi MIC negeri, Datuk M. Asojan dan barisan kepimpinan BN Johor.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial