PERTEMUAN EMPAT MATA TUANKU SULTAN DAN TAN SRI MUHYIDDIN

PASIR GUDANG: Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin menjelaskan bahawa beliau tiada dalam pertemuan tertutup di antara Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan  bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Istana Bukit Serene, Johor Bahru kelmarin.

Katanya, beliau tidak terlibat di dalam pertemuan tertutup selama kira-kira 30 minit tersebut, sebaliknya hanya menyertai sesi minum petang yang diadakan selepas pertemuan itu.

"Pertemuan di antara Sultan Ibrahim dan Tan Sri Muhyiddin berlangsung secara tertutup dan saya tidak tahu apa yang dibincangkan.

 " Tan Sri Muhyiddin mengadap Tuanku sebagai rasa hormat kepada Baginda selain merakamkan ucapan terima kasih kepada Tuanku atas sokongan semasa beliau menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri selama ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir merasmikan Majlis Perasmian Program Pembangunan Keusahawanan Belia Wilayah Iskandar Malaysia (Dropcash), di Politeknik Ibrahim Sultan, di sini semalam.

Mohamed Khaled berkata, tiada perbincangan berkaitan politik berlaku ketika jamuan minum petang  itu berlangsung, yang turut disertai Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah dan isteri Tan Sri Muhyiddin, Puan Sri Norainee Abdul Rahman.

"Saya percaya ada pihak yang kecewa dan berdukacita, tetapi kita perlu faham sistem dan terima dengan lapang dada, kerana barisan kabinet merupakan hak Perdana Menteri.

 "Ini berbeza dengan jawatan di dalam parti, di mana ia ditentukan melalui pemilihan oleh ahli," ujarnya.

Mengenai program Dropcash, Mohamed Khaled berkata, program itu adalah salah satu usaha KKerajaan NNegeri untuk memperkasakan sektor keusahawanan di kalangan rakyat Johor.

Kerajaan Negeri sudah melaksanakan pelbagai usaha untuk menggalakkan rakyat Johor khususnya di Iskandar Malaysia memilih keusahawanan sebagai bidang kerjaya.

Program membabitkan seramai 1,000 usahawan muda di Iskandar Malaysia, yang terpilih daripada 1,800 pemohon.

Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) memperuntukkan RM1.5 juta bagi tujuan bantuan keusahawanan dan program akan diperluaskan ke seluruh johor tidak lama lagi.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial