Pertukaran Status Hartanah Bumiputera Tidak Libatkan RMMJ

Mohamed Khaled

PASIR GUDANG, 4 Mac – Kerajaan Negeri hari ini menegaskan bahawa pertukaran status hartanah bumiputera kepada antarabangsa tidak melibatkan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ).

Menteri Besar Johor, Dato’Mohamed Khaled Nordin berkata, pertukaran status tersebut hanya melibatkan rumah-rumah mewah berharga RM150,000 ke atas dan tidak termasuk dalam kategori RMMJ.

“Dasar tersebut telah diperkenalkan sejak akhir tahun 2013 dan sejak itu lebih 3,000 unit hartanah di negeri Johor telah melalui pertukaran status yang membabitkan kutipan berjumlah RM600 juta.

“Hasil kutipan daripada pertukaran status itu dimasukkan ke dalam Tabung Perumahan Bumiputera dan ia membolehkan sebanyak 6,000 unit RMMJ berjaya dibina.

“Malah, hasil kutipan juga adalah sumbangan daripada penetapan sebanyak 7.5 peratus yang mesti dipenuhi oleh pemaju dalam membuat permohonan bagi pertukaran status tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kali Pertama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Scientex, di sini hari ini.

Menurutnya lagi, dasar yang dilaksanakan di Johor adalah yang terbaik berbanding negeri lain.

“Semua negeri melaksanakan dasar pertukaran status yang sama termasuk di negeri Selangor.

“Bezanya di sini, pihak pemaju perlu
membuat permohonan pertukaran dan ia tidak sama seperti di negeri lain yang berlaku secara automatik,” katanya.

Tambahnya, kebenaran bagi pelepasan pertukaran juga berlaku apabila pemaju melepasi syarat tertentu bagi mengelakkan kerugian dan terpaksa menanggung kos tersebut.

“Contohnya pemohon yang berdepan dengan masalah seperti kelulusan pinjaman perumahan dan sudah melepasi tempoh rayuan, maka pemaju diberi pelepasan kerana mereka tidak boleh menunggu terlalu lama dan ia melibatkan kos,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan tuduhan tidak berasas oleh pembangkang berhubung isu pertukaran status bumiputera kepada lot antarabangsa di negeri ini membabitkan RMMJ.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial