Peruntukan Pembangunan Parlimen Sembrong Sempena Lawatan MB

SEMBRONG, 14 Feb – Sejumlah RM26 juta peruntukan pembangunan disalurkan sempena lawatan Menteri Besar Johor ke kawasan Parlimen Sembrong hari ini.

Ia termasuk RM8.44 juta untuk pembinaan dua sekolah agama iaitu Sekolah Agama Taman Sri Lambak dan Sekolah Agama Paloh 2.

Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM144,000 bagi kerja-kerja baik pulih tiga sekolah agama iaitu Sekolah Agama Felda Ulu Dengar, Sekolah Agama Chamek dan Sekolah Agama Felda Ulu Belitong.

Selain sekolah agama, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan RM850,000 untuk kerja-kerja naik taraf dewan dan balairaya di kawasan parlimen berkenaan.

Ia termasuk membina dewan terbuka Kampung Chamek (RM100,000), membaik pulih balairaya Kampung GSA Chamek (RM200,000), baik pulih dewan MPK Paloh (RM100,000) dan MPK Pekan Kahang (RM150,000), dan membaik pulih dewan Taman Sri Lambak (RM200,000).

Turut diberi perhatian ialah kemudahan jalanraya di kawasan parlimen berkenaan.

Sejumlah RM13.41 juta diperuntukkan untuk menyelenggara,menaik taraf dan melebarkan jalan di kawasan parlimen berkenaan merangkumi jalan kampung, jalan negeri dan jalan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Bagi mengatasi masalah banjir di kawasan parlimen berkenaan, sejumlah RM700,000 diperuntukkan.

Daripada jumlah itu, RM500,000 diperuntukkan untuk mengatasi masalah banjir kilat di Taman Kota Paloh, manakala RM200,000 lagi bagi menyelesaikan isu yang sama di Kampung Melayu Mardi.

Sejumlah RM160,000 lagi diperuntukkan untuk kerja-kerja membaik pulih masjid dan surau iaitu RM80,000 bagi Surau Pinggira Jaya, RM50,000 untuk masjid Ladang Tereh dan RM30,000 bagi menyiapkan masjid Sekolah Kebangsaan Niyor.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sejumlah RM30,000 untuk kerja-kerja baik pulih Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Kahang, RM30,000 untuk membaik pulih kuil Sri Subramaniar Ladang Pamol dan RM30,000 untuk membeli meja dan kerusi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kahang.

Peruntukan-peruntukan itu diumumkan pada Majlis Penyerahan Hak Milik Tanah Felcra Sungai Jebong, di sini hari ini.

Penyerahan itu membabitkan 333 penerima melibatkan kawasan seluas 1,112 ekar.

Pada lawatan kerja itu, Mohamed Khaled juga mengumumkan pembinaan 690 Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) di kawasan Parlimen Sembrong di Mukim Niyor yang akan mula dibina tahun ini.

Kerajaan Negeri juga memberi komitmen akan melaksanakan pembinaan RMMJ di atas tapak seluas 50 ekar di kawasan Paloh.

Projek yang akan dilaksanakan oleh KPRJ itu juga dijangka dimulakan tahun ini.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial