RM2 Juta Biayai 303 Jemaah Haji Kerajaan Johor

JOHOR BAHRU, 17 Julai – Kerajaan negeri Johor memperuntukkan sebanyak RM2.018 juta bagi membiayai 303 bakal jemaah haji rombongan kerajaan negeri tahun ini.

Kesemua bakal jemaah haji dijangka akan berlepas bagi menunaikan rukun Islam yang kelima itu menerusi dua penerbangan pada 11 dan 12 Ogos ini.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin dalam ucapannya mengingatkan agar para jemaah haji menjaga disiplin dan hubungan sesama manusia.

“Saya berharap agar bakal haji dapat mengawal diri, menjaga disiplin dan hubungan sesama manusia. Jangan hanya kerana kita berada di tanah suci, maka kita terlupa bahawa kita ini kerdil, lalu terlupa menjaga hubungan kita sesama manusia.

“Jangan kita terlalu mengikut perasaan atau mengasari sesiapa dan ingatlah betapa segala kesukaran dan ketidakselesaan yang mungkin dihadapi hanyalah sebahagian kecil dari dugaan menjadi tetamu besarNya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Meraikan Bakal-bakal Haji Rombongan Kerajaan Negeri Johor Tahun 1438H/2017M, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Johor, Dato’ Azmi Rohani; Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri, Abd Mutalib Abd Rahim dan Pengarah Tabung Haji Negeri Johor, Datuk Mokhzani Mokhtar.

Mohamed Khaled turut berpesan kepada bakal jemaah haji supaya mendoakan negeri Johor, Malaysia dan umat Islam di seluruh dunia semasa berada di tanah suci itu nanti.

“Agar dengan doa semua, Johor akan terus sentosa, selamat, makmur dan berkemajuan, serta terus dapat ditadbir oleh sebuah kerajaan Melayu Islam yang prihatin dan telus, selain akan terus memartabatkan Islam.

“Malah, doakanlah negara Malaysia agar bebas daripada segala dugaan dan ancaman atau sebarang perkara yang tidak baik, serta menjadi negara yang aman, makmur dan diberkati,” katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial