Peruntukan RM2 Juta Bina Semula Masjid Sri Merlong

2206_masjid
Dr Mohd Puad Zarkashi (kanan) memberikan sumbangan kepada Imam Masjid Sri Merlong, Sohaili Solihin pada Program Sivik Ramadan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit, di Masjid Sri Merlong, Batu Pahat. – Foto Syarafiq Abd Samad

BATU PAHAT, 22 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyalurkan peruntukan RM2 juta bagi membina semula Masjid Sri Merlong, Rengit, dekat sini bagi menggantikan masjid sedia ada yang sudah uzur.

Ketua Bahagian UMNO Batu Pahat, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, peruntukan itu disalurkan Perdana Menteri menerusi peruntukan khas Jabatan Perdana Menteri (JPM) khusus bagi kegunaan masjid dan surau di seluruh negara.

Katanya, proses pembinaan masjid berkenaan akan dimulakan selepas Aidilfitri nanti dan dijangka mengambil masa kurang dua tahun untuk disiapkan.

“Saya berharap kerajaan negeri juga dapat memberikan dana tambahan menerusi Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) bagi melengkapkan pembinaan masjid berkenaan bagi kegunaan masyarakat sekitar Sri Merlong di Rengit.

“Selain itu, Perdana Menteri turut menyalurkan dana sebanyak RM250,000 bagi memperbaiki Surau Haji Kasimin Sungai Dulang Darat, Rengit tahun lalu dan ia sudah selesai menjalani proses penambahbaikan sejak tiga bulan lalu.

“Dana itu sebahagian daripada RM2 juta yang disalurkan Perdana Menteri tahun lalu khusus bagi memperbaiki masjid dan surau di kawasan Parlimen Batu Pahat,” katanya selepas Program Sivik Ramadan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit, di Masjid Sri Merlong, dekat sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Bahagian UMNO Batu Pahat, Zaidi Japar dan Pegawai Daerah Batu Pahat, Mohd Halim Hasbullah.

Pada program berkenaan, Dr Mohd Puad turut menyampaikan dana RM30,000 untuk diagihkan kepada empat surau dan dua masjid di DUN Rengit bagi proses penambahbaikan.

Selain itu sempena program itu, seramai 171 asnaf iaitu warga tua, ibu tunggal, anak yatim, orang kurang upaya (OKU) serta 36 ahli Pusat Dalam Komuniti (PDK) DUN Rengit menerima sumbangan Ihya Ramadan membabitkan barangan keperluan serta wang perbelanjaan.

Dr Mohd Puad berkata, peruntukan yang disalurkan Perdana Menteri bagi membina semula serta memperbaiki masjid dan surau di Parlimen Batu Pahat membuktikan beliau amat prihatin serta memahami keperluan masyarakat Islam di negara ini. – Berita Harian

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial