Peruntukan RM40 Juta Diluluskan, Selesaikan Isu Setempat Parlimen Segamat

SEGAMAT, 27 Feb – Kerajaan Negeri hari ini meluluskan peruntukan sebanyak RM40 juta bagi tujuan pembangunan dan menyelesaikan isu-isu setempat di Parlimen Segamat.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata peruntukan tersebut juga adalah bagi memastikan pembangunan yang insklusif dan tidak ada jurang antara rakyat di negeri Johor.

“Walaupun pembangunan pesat di sebelah Selatan Johor Bahru, tetapi Kerajaan Negeri perlu memastikan dasar-dasar yang dilaksanakan benar-benar berkesan dan mendatangkan hasil.

“Malah, adalah penting bagi Kerajaan Negeri untuk melihat sendiri isu-isu, masalah serta cabaran yang dihadapi penduduk apatah lagi Segamat merupakan daerah yang terpencil,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Jamuan Muafakat Johor sempena lawatan kerjanya ke Parlimen Segamat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Jementah, di sini hari ini.

Turut hadir Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor; Ahli Parlimen Segamat merangkap Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap, Norshida Ibrahim.

Menurut Mohamed Khaled, melihat kepada keperluan anak muda dan belia yang juga generasi penerus yang memainkan peranan penting kepada negara, sebuah Hab Aktiviti Belia dan Sukan pertama di negeri Johor akan dibina dengan peruntukan sebanyak RM800,000.

Malah, aktiviti golongan muda turut dirancakkan lagi dengan pelaksanaan Program Community In River (COIR) di Taman Rekreasi Sungai Kapeh bertujuan untuk mempertingkatkan rasa sayang dan cinta kepada sungai serta alam sekitar.

Beliau turut berkata, keperluan kepada penyediaan rumah mampu milik terus menjadi keutamaan kerajaan negeri bagi memenuhi permintaan memiliki rumah.

“Kerajaan Negeri bersetuju untuk membinanya di atas dua tapak tanah berkeluasan 10 ekar setiap satu yang juga tanah rizab kerajaan dan sedikit pengambilan balik tanah melibatkan tanah milik persendirian di kawasan Paya Lebar Mukim Jementah.

“Malah, kerajaan negeri juga bersetuju untuk mengambil semua tanah di Taman Suria, Ladang River, Mukim Buloh Kasap milik Sime Darby Plantation Sdn Bhd dengan kos sebanyak RM3.491 juta dan meminta Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) untuk mengkaji kesesuaian projek di situ,” katanya.

Menurutnya lagi, Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM29.023 juta bagi tujuan menyelenggara, menaik taraf dan melebarkan jalan kampung, jalan negeri dan jalan PBT.

“Selain itu bagi kerja-kerja menyelenggara dan menaik taraf jalan kampung dan jalan negeri melalui syarikat konsesi, masing-masing menerima peruntukan sebanyak RM7.3 juta dan RM6.3 juta.

“Manakala bagi kerja-kerja menyelenggara jalan kampung melalui Pejabat Daerah Segamat serta jalan PBT yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri pula masing-masing menerima peruntukan sebanyak RM7.473 juta dan RM7.814 juta,” katanya.

Bagi pembinaan Masjid Baru di Kampung Gelang Chin Chin, Kerajaan Pusat telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1.3 juta, manakala tambahan sebanyak RM300,000 melalui Kerajaan Negeri dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.6 juta, serta peruntukan sebanyak RM300,000 pula kepada Masjid Al-Hidayah Felda Palong Timur.

Tambahnya lagi, Ahli Parlimen Segamat juga telah bersetuju untuk berkongsi peruntukan bersama-sama dengan Kerajaan Negeri bagi membina kemudahan asas seperti dewan dan balai raya.

“Antaranya, pembinaan Dewan Sekolah Ladang Fortrose dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM400,000 yang mana masing-masing memperuntukkan RM200,000 bagi setiap pihak.

“Manakala pembinaan Balai Raya Kampung Baru Tambang Batu 7, Batu Anam pula menerima peruntukan sebanyak RM200,000 dengan masing-masing memperuntukkan RM100,000 bagi setiap pihak,” katanya.

Sementara itu, bagi kerja-kerja melibatkan pengairan dan saliran pula, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi membina dan menyiapkan projek Saliran Bandar Kg. Paya Lang, Bt. Anam, serta RM1 juta untuk projek Benteng Sungai di Kg Spang Loi dan kerja-kerja berkaitan di Mukim Buloh Kasap.

Tambahnya, keperluan bagi Tapak Perkuburan Islam di Bt. 13, Jementah melibatkan pengambilan balik tanah pula menerima peruntukan sebanyak RM400,000.

Mohamed Khaled juga berkata, selain pembangunan berbentuk fizikal, perhatian juga diberi pada soal ekonomi rakyat.

“Melalui pelaksanaan Pelan Pertumbuhan Strategik Johor (PPSJ), daerah Segamat berpotensi untuk dibangunkan sebagai hab pertanian, eko dan agro pelancongan.

“Justeru, sebanyak RM500,000 diperuntukkan bagi membangunkan
Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian dan Buah-buahan di Paya Jakas, Mukim Jementah.

“Segamat mempunyai potensi besar bagi tujuan tersebut dan perancangan itu perlu diteruskan dan tidak tergendala setengah jalan kerana ia perlu dilaksanakan demi manfaat penduduk di kawasan itu sendiri,” katanya.

Sementara itu, beliau mengulangi kenyataan sama sewaktu lawatan kerja ke Parlimen Labis sebelum ini bahawa kerjasama dan hubungan permuafakatan di antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat melalui penglibatan Ahli Parlimen dapat memberi manfaat kepada rakyat di parlimen tersebut.

“Buktinya, Segamat telah menerima peruntukan yang besar dari Kerajaan Pusat apabila untuk tahun ini sahaja sebanyak RM308.6 juta telah diperuntukkan untuk Parlimen ini.

“Antaranya, peruntukan sebanyak RM92.5 juta bagi tujuan baik pulih dan naik taraf Jalan Yong Peng – Segamat dan RM60 juta bagi pembinaan Sekolah Menengah Sains.

“Juga peruntukan sebanyak RM95 juta bagi bangunan tambahan di Hospital Segamat serta RM60 juta bagi pembinaan Loji Rawatan Air Kuala Paya untuk mengatasi masalah bekalan air,” katanya.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial