Peruntukan RM5 Juta Jenama Semula Lima Rumah Ibadat

02-01-2017_tee

JOHOR BAHRU, 2 Jan – Kerajaan negeri Johor memperuntukkan RM5 juta bagi melakukan penjenamaan semula empat jalan di pusat bandar raya di sini, yang dikenali sebagai ‘Persiaran Muafakat Bangsa Johor’ menghubungkan lima rumah ibadat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Negeri Johor, Datuk Tee Siew Kiong berkata penjenamaan itu selaras hasrat kerajaan negeri yang mahu melahirkan masyarakat Bangsa Johor yang stabil, menanam integrasi nasional serta sikap toleransi dalam aspek agama dan kepercayaan.

“Pada pembentangan Bajet Johor 2017, kerajaan negeri mengumumkan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi memantapkan agenda Muafakat Bangsa Johor dengan mewujudkan penjenamaan semula ‘Street of Harmony JB’ sebagai ‘Persiaran Muafakat Bangsa Johor’ di pusat bandar.

“Persiaran ini melibatkan lima rumah ibadat yang mewakili lima kepercayaan dan merupakan warisan Johor sejak zaman pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar.

Ia juga merupakan hasil kurniaan tanah dan pengiktirafan daripada kerabat diraja Johor,” katanya.

Tee berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Budaya Dan Warisan dan pelancaran Persiaran Muafakat Bangsa Johor, di Sungai Segget, di sini.

Beliau berkata kewujudan lima rumah ibadat dalam satu kawasan yang sama membuktikan Johor memiliki ciri permuafakatan yang kuat seperti toleransi agama dan budaya, kecintaan terhadap warisan, dan semangat nasionalisme.

Lima pusat ibadat tersebut adalah Masjid India Dato’ Ahmad Awang yang dianggarkan berusdia 100 tahun, Kuil Sri Raja Mariamman, Sikh Gudwara Sahib, tokong lama kaum Cina berusia 146 tahun dan Gereja The Vicar Of Immaculate Conception.

Kelima-lima rumah ibadat tersebut terhubung dengan laluan sepanjang dua kilometer yang terdiri daripada Jalan Trus, Persiaran Duke, Jalan Abdullah Ibrahim dan Jalan Ungku Puan.

“Persiaran ini juga berperanan sebagai produk pelancongan warisan dan sejarah yang unik, sebagai sebahagian daripada projek transformasi Johor Bahru dan selaras dengan Pelan Induk Pelancongan Negeri Johor (2014-2023) yang menekankan konsep pemeliharaan dan pemuliharaan warisan,” jelasnya.

Tee berkata persiaran itu merupakan hasil insiatif kerajaan negeri menerusi Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), dengan kerjasama Tourism Johor, Yayasan Warisan Johor, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) serta Think City sebagai badan yang melakukan kajian keberkesanan dan kerja-kerja penyelidikan bersama komuniti setempat. – Bernama

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial