5 Views

Pesalah Trafik Warga Singapura Paling Ramai

JOHOR BAHRU 9 Jan. – Pesalah trafik warga Singapura mencatatkan sebanyak 184,014 saman tertunggak serta 3,423 waran tangkap tertunggak sekali gus menjadikannya jumlah tertinggi dalam rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang tempoh 2010 hingga tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Mahamad Akhir Darus berkata, jumlah itu diikuti warga Brunei dengan 63,696 saman tertunggak dan 509 waran tangkap tertunggak; Thailand (22,334 dan 1,116); Indonesia (2,880 dan 36) dan warganegara lain dengan 2,739 saman tertunggak serta 274 waran tangkap tertunggak.

“Kesemua 275,663 saman ter­tunggak membabitkan 5,358 wa­ran tangkap pesalah trafik warga asing itu adalah hasil operasi dan penguatkuasaan di seluruh negara termasuk di kawasan sempadan,” katanya kepada pem­berita sempena Op Saman Tertunggak Warganegara Asing V (OSTWA V) di sini, semalam.

Mengulas berhubung OSTWA V, beliau berkata, operasi itu diadakan di tiga lokasi di sekitar bandar raya ini sejak kelmarin hingga awal pagi ini dan seba­nyak 5,710 kenderaan dengan nombor pendaftaran asing diperiksa.

“Dalam operasi sama, seba­nyak 55 saman dikeluarkan dan sebanyak 3,275 saman tertunggak berjaya diselesaikan. Kita turut menahan lima individu membabitkan seorang lelaki warga Singapura, dua lelaki dan seorang wanita Indonesia serta seorang lelaki tempatan,” ujarnya.

Mahamad Akhir berkata, lelaki Singapura berumur 57 tahun yang memandu kenderaan bernombor pendaftaran Malaysia itu ditahan di Kilometer 2, Jalan Tebrau kerana membawa ketiga-tiga warga Indonesia yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“Lelaki tempatan berumur 45 tahun dan memandu kenderaan bernombor pendaftaran Singapura itu pula ditahan pada kelmarin kerana mengeluarkan kata-kata kesat serta menghalang petugas operasi menjalankan tugas,” jelasnya.

Beliau berkata, OSTWA bertu­juan memberikan kesedaran kepada pesalah trafik warganegara asing supaya melaksanakan tanggungjawab mereka dalam menyelesaikan saman tertunggak.

“Sebelum OSTWA V, operasi yang sama pernah diadakan di bandar raya ini pada 27 Disember 2014 hingga 1 Januari 2015 (OSTWA I) dan 13 hingga 15 Jun 2015 (OSTWA II).

“OSTWA III pula dijalankan di Miri dan Limbang, Sarawak pada 15 hingga 17 Oktober 2015 manakala OSTWA IV di Perlis, Kedah dan Perak pada 19 hingga 22 Mei tahun lalu,” katanya. – Utusan Online

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial