PESAWAT TRIGANA HILANG : PESAWAT BERKEADAAN BAIK SEBELUM BERLEPAS

trigan16.transformed

JAKARTA: Syarikat penerbangan Trigana Air menyatakan tiada masalah ketika pesawat Trigana Air IL 267 jenis ATR 42-300 berlepas dari Lapangan Terbang Sentani, Jayapura. Pengarah Operasinya, Kapten Benni Sumaryanto, berkata keadaan pesawat dan cuaca baik ketika pesawat itu berlepas sekali gus menolak dakwaan yang menyatakan syarikat penerbangan terbabit tidak memastikan keadaan cuaca sebelum pesawat itu berlepas. 

Memetik laporan Detiknews, Benni menyatakan sebaik pihaknya mendapat laporan kehilangan pesawat itu, sebuah lagi pesawat jenis sama dihantar untuk menjejaki pesawat itu. 

"Tapi pesawat terpaksa berpatah balik kerana cuaca buruk," katanya. Benni berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia (BASARNAS) serta berkongsi maklumat yang diperlukan. 

Katanya, ada penduduk tempatan di daerah Bape, Papua, mendakwa melihat pesawat itu terhempas di kawasan Pergunungan Bintang dan pasukan penyelamat terdiri daripada polis dan tentera sudah dihantar ke kawasan itu bagi mendapatkan maklumat lengkap.

 "Pihak berkuasa sudah pergi ke kawasan terbabit, begitu juga dengan pasukan pakar Trigana Air. Kita masih menunggu laporan dari sana jika betul pesawat terbabit terhempas di kawasan itu," katanya. 

Benni turut mengulas mengenai juruterbang pesawat malang itu, Kapten Hasanudin, yang disifatkannya sebagai seorang juruterbang kanan dan berpengalaman mengendalikan pesawat ATR. 

"Dia sudah mempunyai banyak jam penerbangan. Boleh disifatkan dia seorang juruterbang berpengalaman," katanya. Sementara itu, Ketua Polis Indonesia, Badrodin Haiti, berkata pihak penyelamat yakin pesawat itu akan dapat dikesan dalam operasi SAR, yang akan disambung apabila cuaca pulih. 

"Jika mahu ke Oksibil perlu melalui kawasan Pergunungan Bintang dan ketika ini, cuaca di situ sangat teruk," katanya – BH

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial