PETANDA MUNAFIK

MAJLIS TAKLIMAT DRAF ASAS MEMORANDUM ISU KALIMAH ALLAH

Kuala Lumpur: Setiap pihak yang terbabit dengan pengagihan dan penerimaan zakat perlu ada integriti kerana ia membabitkan wang amanah daripada orang ramai untuk membantu mereka yang memerlukan.

Penasihat Majlis Agama Islam Johor Datuk Noh Gadut berkata, kedua-dua pihak iaitu Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan asnaf wajib bersikap jujur dan ikhlas dalam setiap urusan dilakukan.

“Zakat ini berkat dan jika kita inginkan keberkatan tidak boleh berbohong. Jika ada matlamat tertentu atau penyelewengan, maka ia lari daripada konsep zakat serta berdosa besar.

“Orang yang berbohong mendakwa tidak menerima zakat atau tidak cukup, ia adalah tanda munafik. Berkat ini apabila benda sikit kita akan rasa cukup atau banyak,” katanya ketika dihubungi, semalam mengulas mengenai dakwaan asnaf yang tidak menerima zakat.

Harian Metro semalam melaporkan, kehebatan kuasa media sosial terutama Facebook (FB) kini disalahgunakan segelintir asnaf untuk mengaut keuntungan di atas simpati orang ramai, biarpun hakikatnya mereka sudah menerima bantuan Baitulmal dan Pusat Pungutan Zakat (PPZ).

Lebih menyedihkan petugas dua agensi di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) itu turut difitnah kononnya mengabaikan tanggungjawab hingga ada yang dimaki hamun apabila kisah asnaf berkenaan menjadi viral.

Noh berkata, tindakan segelintir pihak yang bagaikan menangguk di air keruh dengan menyebar berita yang tidak diketahui kebenarannya tidak sewajarnya berlaku sehingga ia menjadi viral di laman sosial menyebabkan dosa berangkai.

Menurutnya, sekiranya ada asnaf yang merasakan bantuan diterima tidak cukup atau berdepan masalah lain, mereka perlu bersikap jujur memberitahu perkara sebenar kepada pihak berkuasa agama.

Katanya, kebiasaannya setiap MAIN mempunyai dua skim bantuan zakat yang diistilahkan sama ada beri ikan atau pancing iaitu bantuan wang bulanan atau bantuan alat sokongan kerja seperti mesin, enjin bot dan sebagainya.

Mengulas mengenai tuduhan dan cemuhan dihadapi pihak berkuasa agama apabila didakwa tidak bekerja mengagihkan wang zakat kepada mereka yang memerlukan, beliau berkata, perkara negatif itu perlu dipandang dari sudut positif sebagai cabaran untuk mematangkan diri dan meningkatkan kualiti.

“Nabi Muhammad SAW dan sahabat dulu lagi hebat cabaran dan ancaman dihadapi mereka dalam berdakwah. Jika dibanding zaman sekarang, tidak terjangkau bandingannya.

“Kita tidak perlu kecewa, sebaliknya menerima kritikan dan cabaran ini dengan hati terbuka.

“Mungkin apa yang diperkatakan di laman sosial ini dilakukan oleh pihak ketiga yang ada kepentingan tertentu, jadi lebih baik kita doakan mereka mendapat taufik daripada Allah,” katanya.

Beliau juga mencadangkan supaya setiap MAIN melantik amil agihan zakat yang berperanan mencari asnaf yang layak di kawasan masing-masing supaya lebih fokus dan tidak bercampur kerja dengan tugas amil pungutan zakat.

Katanya, MAIN juga perlu menghebahkan program dan bantuan zakat yang diberikan kepada asnaf supaya masyarakat tidak memandang mereka dari persepsi negatif iaitu agensi pungutan zakat yang berjaya meraih jutaan ringgit setahun tetapi tidak membelanjakannya dengan sepatutnya.- METRO

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial