PIJ & AmBank Islamic Meterai Perjanjian JomPAY, Mudahkan Sumbangan Kepada TWRJ


KUALA LUMPUR, 11 Mei – Perbadanan Islam Johor (PIJ) dan AmBank Islamic Bhd hari ini menandatangani perjanjian dengan JomPAY bagi memudahkan orang ramai dan sektor korporat menyumbang kepada Tabung Waqaf Rakyat Johor (TWRJ).

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, melalui kaedah itu, masyarakat yang mahu menyumbang duit waqaf lebih yakin untuk memberi sumbangan kepada tabung terbabit.

Beliau berkata, ini membolehkan mereka yang tinggal Johor atau negara ini mahupun luar negara memberi sumbangan waqaf kepada tabung berkenaan.

“Di Johor, kita ambil pendekatan menggunakan waqaf sebagai satu cara bagi menyumbang kepada pembangunan ekonomi. Johor sedang menyaksikan pembangunan yang pesat dan kita mengambil pendekatan pembangunan inklusif.

“Antara kita lihat yang boleh dilakukan ialah dengan menggunakan sumber pendapatan yang telah digariskan dalam Islam, tetapi tidak diterjemahkan dan dilaksanakan dengan berkesan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Dagangan JomPAY Di Antara AmBank Islamic dan PIJ Melalui TWRJ di sini, hari ini.

Pada majlis itu, PIJ diwakili Pengurus Besarnya, Zulkiflee Abbas, manakala AmBank Islamic diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Eqhwan Mokhzanee.

Turut hadir, Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim; Pengerusi AmBank Islamic, Datuk Seri Abdul Hamidy Abdul Hafiz, Ketua Pegawai Eksekutif AmInvestment Bank yang juga Pengarah Urusan Perbankan Borong Kumpulan AmBank, Raja Teh Maimunah Raja Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Operasi MyClear, Tay Gim Soon.

Program waqaf PIJ itu bertujuan untuk memperbanyak program bantuan ekonomi bagi masyarakat Islam di Johor, termasuk membantu dari segi bidang kesihatan dan pendidikan.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, pembayaran waqaf menerusi atas talian itu adalah selari dengan usaha Kerajaan Negeri yang mahu lebih banyak perkara dilakukan secara digital.

“Kita mahu menggerakkan Johor ke arah digital dalam pelbagai cara. Oleh itu, kita perlu mempunyai hubungan dengan pelbagai pihak bagi tujuan ini,” katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial