Pindaan dalam Rang Undang-Undang Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor Dilakukan

NUSAJAYA: Rang Undang-Undang Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) yang akan dibentangkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor akan terdapat pindaan fasal khususnya peruntukan yang menyentuh peranan raja.

Menteri Besar, Dato' Mohamed Khaled Nordin berkata pindaan dilakukan selepas pihak berkuasa negeri mengambil kira tohmahan dan reaksi pelbagai pihak selain mahu memelihara sistem Raja Perlembagaan yang diamalkan selama ini.

"Ada fasal yang akan dipinda dengan dinyatakan secara khusus peranan raja adalah atas nasihat Menteri Besar terutama dari segi pelantikan ahli lembaga pengarah lembaga tersebut.

"Yang paling penting, lain-lain fasal ditiadakan. Hanya itu sahaja yang menyentuh peranan raja. Lain-lain semua digantikan dengan Pihak Berkuasa Negeri," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi penggulungan perbahasan persidangan Dewan Negeri  di sini, semalam.

Jelas Khaled, pindaan itu juga dibuat untuk menunjukkan kerajaan negeri berniat ikhlas terhadap penubuhan lembaga terbabit selain tidak mahu seolah-olah kuasa eksekutif diberikan kepada raja walaupun kandungan enakmen baharu yang akan diwujudkan itu sama seperti kandungan yang sudah ada dalam akta di peringkat kebangsaan.

Tambahnya, lebih menghairankan rang undang-undang yang akan dibentangkan itu mendapat kritikan kononnya raja akan diberi kuasa mutlak dengan raja akan mengurus perjalanan lembaga atau mempunyai kuasa eksekutif sedangkan semua peruntukan dalam rang tersebut juga adalah sama dengan rang penubuhan Johor Corporation (JCorp) sebelum ini.

Jelas beliau, fasal-fasal yang terdapat di dalam enakmen itu kelak juga tidak akan melanggar prinsip Raja Berpelembagaan kerana ia dibaca bersama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri yang menyatakan tindakan yang dilaksanakan oleh raja adalah atas nasihat Menteri Besar.

"Sekiranya enakmen Johor dianggap bertentangan dengan Perlembagaan, maka semua akta di peringkat persekutuan juga bertentangan.

"Jadi kita harap pindaan itu nanti tidak akan menimbulkan lagi apa-apa masalah kerana apa yang kerajaan negeri usahakan adalah demi rakyat," katanya.

Sementara itu, dalam ucapan penggulungan itu juga Khaled berkata Kerajaan Negeri turut bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa yang akan dikelolakan oleh satu jawatankuasa dari Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) bagi mengkaji dan mendapatkan bukti baharu berkaitan Pulau Batu Puteh.

Katanya, permohonan untuk menyemak semula keputusan kes Pulau Batu Puteh perlu dilakukan              sebelum tempoh 10 tahun daripada tarikh penghakiman berdasarkan Artikel 61(5), Bab III, Akta      Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

"Di dalam kes Pulau Batu Puteh, tarikh penghakimannya adalah pada 23 Mei 2008 dan ini     bermakna, tempoh rayuannya akan tamat pada 23 Mei 2018.

"Dengan tertubuhnya jawatankuasa ini, ia dapat mengkaji serta mengumpul segala bukti baharu     yang     tidak dikemukakan pada proses penghakiman terdahulu," katanya.

Beliau berkata penubuhan jawatankuasa itu juga selari dengan Artikel 61(1) akta sama yang     menyatakan     bahawa setiap rayuan berhubung penghakiman terbabit hendaklah disertakan     dengan bukti baharu yang     kukuh.

Mohamed Khaled berkata bagaimanapun, segala rayuan mesti menerusi kerajaan Persekutuan     memandangkan penghakiman itu adalah antara kerajaan Malaysia dengan Singapura, dan     kerajaan negeri akan memohon kerjasama kerajaan Persekutuan untuk menanggung segala    perbelanjaan.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata kerajaan negeri akan meneliti kesesuaian pelaksanaan     penyeragaman cuti mingguan Johor antara agensi kerajaan dan swasta dalam sektor seperti     perindustrian, perbankan dan kewangan selain faktor keluarga dan sosial.

"Kita juga akan membuat perbandingan dengan penggunaan cuti mingguan dengan negeri-negeri     lain yang telah lama mempraktikannya seperti Kedah, Terengganu dan Kelantan," katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial