Pintu Air Pengkalan Rinting Gagal Berfungsi

img_0739JOHOR BAHRU 31 Okt. – Kira-kira 6,000 penduduk Kampung Pasir, Kampung Pengkalan Rinting dan Kampung Pengkalan Marin di sini berdepan masalah banjir terutama semasa air pasang berikutan pembinaan pintu air Pengkalan Rinting yang tidak sempurna.

Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang melakukan tinjauan bersama beberapa kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) semalam mendapati kunci pintu air berkenaan telah patah.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan pintu air tersebut gagal berfungsi dengan baik bagi mengawal air pasang yang masuk ke kawasan rendah terutama di Kampung Pasir dan sekitarnya.

“Saya telah melawat pintu air di Kampung Pengkalan Rinting dan mendapati kunci pintu air ini sudah patah kerana diperbuat daripada bahan yang tidak tahan lama.

“Apa yang saya mahu tekankan di sini adalah reka bentuk dan kualiti bahan pembinaan kunci air ini tidak tahan lama. Patutlah banjir sering berulang di bandar raya ini semasa Projek Pemulihan Sungai Segget dijalankan,” katanya selepas melawat pintu air tersebut semalam.

Nur Jazlan yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata, penduduk di tiga kampung berkenaan bakal terjejas ekoran kelemahan itu dan ditambah pula dengan fenomena air pasang besar.

“Keadaan diburukkan lagi dengan pembuangan sampah ke dalam sungai secara berleluasa. Sudah tentu ini mendatangkan kebimbangan kepada penduduk yang tinggal berhampiran,” katanya sambil memberitahu pintu air berkenaan dibina oleh kontraktor yang dilantik oleh Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) manakala penyelenggaraannya dilakukan oleh JPS.

Bagi mengatasi masalah itu, JPS Daerah Johor Bahru akan melakukan kerja-keja menggali dan baik pulih perangkap sampah yang tidak berfungsi di pintu air berkenaan dengan kos RM160,000 bermula minggu depan. – Utusan Online

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial