PKS DI JOHOR DIMINTA BERSIAP SEDIA PERUBAHAN “ANGIN” DI ISKANDAR

tee siew kiong

JOHOR BAHARU, 14 Ogos – Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Johor harus bersedia menghadapi 'angin' perubahan akibatkan kepesatan pembangunan di Koridor Wilayah Iskandar Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan Dan Kepenggunaan Negeri Johor Datuk Tee Siew Kiong berkata kemajuan yang berlaku di koridor ekonomi itu akan menarik lebih banyak kemasukan pelabur asing, justeru memungkinkan persaingan yang sengit antara PKS dan syarikat besar.

"Kita sudah tahu PKS merupakan perniagaan kecil manakala pelabur yang datang (ke Iskandar) pula terdiri daripada syarikat besar, jadi kita kena ambil kira dan tahu (perubahan).

"Jangan salahkan sesiapa jika perniagaan tidak berjaya kerana dari awal kita sudah mencetuskan kesedaran itu," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan jerayawara Anugerah Pengiktirafan PKS 2015, di sini hari ini.

Anugerah tersebut ialah program tahunan Persatuan PKS Malaysia untuk mengiktiraf dan meraikan pencapaian cemerlang peniaga di seluruh negara.

Tee berkata perubahan itu tentunya juga merumitkan keadaan PKS yang kini dalam dilema menghadapi pelbagai cabaran termasuk mempunyai modal perniagaan kecil, keperluan untuk menguasai teknologi komunikasi dan multimedia (ICT) dan pengeluaran produk yang hanya dalam kuantiti sedikit.

"Sehubungan itu, mereka kena bekerjasama mengumpul modal dan membina jaringan, jangan lawan satu sama lain yang akhirnya dua-dua mati (kecundang)," katanya.

Sumbangan kira-kira 68,000 PKS di Johor kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 10.7 peratus berbanding 34 peratus (bidang pembuatan), 50 peratus (perkhidmatan), 12 peratus (pertanian) dan empat peratus (perlombongan).

Sementara itu, menurut Presiden Persatuan PKS Johor Selatan, James Tan Tien Chong, pihaknya akan mengadakan lebih banyak program penerangan kepada peniaga kecil selepas ini bagi mempersiapkan mereka dengan implementasi Komuniti Ekonomi Asean (AEC).

"Kita berharap kerajaan turut memain peranan kerana Johor merupakan negeri yang berbeza dengan negeri lain.

"Kita akan terus menggabung dan memikir cara untuk menuju ke arah itu, walaupun dalam kedudukan yang sukar ketika ini," katanya.

— BERNAMA

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial