Polis Johor Lancar Pra Ops Selamat

KETUA Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar. – Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin.

JOHOR BAHRU, 18 April – Polis Johor buat julung kalinya melancarkan pra Ops Selamat bagi mendidik pengguna jalan raya serta mengurangkan jumlah kemalangan maut di negeri ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor,
Superintendan Dzulkhairi Mukhtar, berkata menerusi pra Ops Selamat itu pihaknya juga akan memberi tumpuan kepada beberapa lokasi ‘blackspot’ yang kerap berlaku kemalangan.

Katanya, sebanyak 24 laluan dikenalpasti sebagai lokasi kerap berlaku kemalangan membabitkan enam daerah iaitu Johor Bahru Selatan, Seri Alam, Kulai, Batu Pahat, Kluang dan Kota Tinggi.

“Pada masa sama, kita juga akan menjalankan kajian bagi mengenal pasti punca kemalangan di lokasi berkenaan.

“Kontinjen Johor dipilih oleh Bukit Aman sebagai perintis untuk mengadakan pra Ops Selamat yang bermula semalam sehingga 1 Mei ini membabitkan kekuatan 50 anggota dari seluruh Johor,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Dzulkhairi berkata, menerusi pra Ops Selamat itu pihaknya juga memberi tumpuan terhadap penguatkuasaan enam kesalahan utama.

“Kesalahan itu membabitkan memandu melebihi had laju, memotong di garisan berkembar, tidak mematuhi lampu isyarat, memandu di lorong kecemasan, menggunakan telefon bimbit ketika memandu serta memotong barisan.

“Selain itu, inisiatif ini juga diadakan bagi melancarkan aliran trafik pada waktu puncak serta operasi pencegahan jenayah,” katanya.

Beliau berkata, pada Ops Selamat tahun lalu, pihaknya mengeluarkan sejumlah 24,522 saman membabitkan pelbagai kesalahan jalan raya.- BERITA HARIAN.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial