POLIS JOHOR TINGKAT KAWALAN TRAFIK DI TAMBAK JOHOR

71428994633_freesize

JOHOR BAHRU – Polis Johor akan mempertingkat kawalan trafik bagi memastikan kesesakan di Tambak Johor sejak beberapa hari lepas, dapat diatasi segera.

Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata arahan telah dikeluarkan kepada Jabatan Ketenteraman Awam/Trafik negeri supaya menubuhkan satu pasukan ronda khas bagi mengendalikan masalah itu.

"Pasukan ronda itu akan membantu melancarkan laluan trafik pengguna yang mahu ke Singapura dan dari Singapura ke Johor," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, hari ini.

Beliau turut menasihatkan pengguna merancang masa perjalanan mereka dan tidak melalui laluan itu terutamanya ketika waktu puncak pekerja pulang dari bekerja.

Difahamkan, kesesakan itu berlaku ekoran tindakan Singapura menjalankan pemeriksaan rapi ke atas setiap kenderaan sejak dua minggu lepas.

Ia dijangka berterusan sehingga perayaan Krismas pada 25 Disember ini dan awal tahun 2016.

Wan Ahmad Najmuddin berkata penguatkuasaan juga ditingkatkan untuk mengelak kesesakan trafik termasuk kerana parkir berganda di sekitar bandar raya ini.

Beliau berkata satu operasi bersepadu polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan diadakan semalam dan hari ini bagi menangani lumba haram.

Dalam operasi itu, sebanyak 236 kenderaan diperiksa dan 195 saman dikeluarkan manakala dua kereta dan sembilan motosikal, katanya.

Selain itu, seorang lelaki dan seorang wanita juga ditahan mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memalsukan dokumen kenderaan lupus Singapura, sementara 11 lelaki ditahan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya. – Bernama

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial