Politik Islam Dalam UMNO Perlu Diangkat Ke Tahap Lebih Baik

 

image

 

JOHOR BAHRU, 14 Sept – UMNO perlu mengangkat dan membawa politik Islam yang dipegang selama ini ke tahap yang lebih baik dan terserlah.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, sudah tiba masanya UMNO dan Islam bergerak seiringan dengan cara yang lebih kemas dan kuat.

Katanya, UMNO mesti mengarusperdanakan Islam jika ingin dilihat terus relevan dan perlu diperkemaskan dengan identiti dan citra yang lebih Islami.

“Saya menyarankan untuk UMNO mengangkat dan membawa politik Islam yang dalam dirinya selama ini ke tahap yang lebih baik dan terserlah.

“Pertama, dengan melihat dan mendalami bagaimana syiar Islam itu boleh menjadi faktor yang dapat menjadikan Malaysia lebih moden dan sejahtera. Bukan menolaknya atau mengubah struktur Malaysia sebagai negara bangsa yang meraikan kemajmukan.

“Kedua, bagaimana Islam dan ajarannya boleh membantu melonjakkan Melayu dan Malaysia menjadi sebuah negara kesepakatan yang adil, berdaya saing, kuat dan dihormati.

“Ketiga, bagaimana Islam mesti menjadi panduan untuk pemimpin kita menjadi lebih beramanah dan takut pada penciptanya, sekaligus menghapus politik wang dan salah guna kuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Seminar Komemoratif 70 tahun UMNO anjuran bersama Badan Perhubungan UMNO Johor dan Bait Al-Amanah di sini, hari ini.

Beliau berkata perkara keempat merujuk kepada bagaimana Islam memberi pelbagai solusi kepada kemaslahatan bangsa dengan menggunakan pelbagai pendekatan Islami seperti wakaf, hibah, zakat dan sebagainya.

“Kelima, bagaimana Islam menjadi rujukan untuk mengurus ekonomi moden dengan bersandarkan prinsip tidak menindas, inklusif dan berkeadilan.

“Kelima-lima contoh ini adalah sebahagian sahaja daripada cara yang boleh digunakan oleh UMNO untuk menterjemahkan politik Islam yang sebenar dan amat diperlukan oleh Malaysia,” jelasnya lagi.

Dalam ucapannya, Mohamed Khaled turut menyarankan supaya UMNO memerlukan kebangkitan moral iaitu kebangkitan dan kesedaran bahawa UMNO itu adalah amanah besar.

Tambah beliau, UMNO adalah satu-satunya wadah yang menghubungkan kita dengan kemerdekaan dan para pendiri bangsa.

“Ia adalah satu-satunya gerakan kebangsaan yang sangat berjaya. Ia memberikan kita identiti, rasa kepunyaan dan ini adalah nurani bangsa Melayu.

“Jadi, kita mesti mengambil tanggungjawab terhadap UMNO ini. Bukan mempergunakannya. Bukan mengharapkan segala habuan dan imbuhan material darinya. Bukan memperjudikannya demi kepentingan sendiri,” katanya.

Beliau berkata, atas sebab itu semua pihak perlu menyokong gerakan besar-besaran merejuvenasikan UMNO.

“Dengan memikirkan secara serius kedua-dua saranan iaitu dengan mewujudkan kebangkitan moral dan mengarusperdanakan agenda politik yang bersyairkan Islam.

“Hanya dengan menjayakan 2 saranan ini, UMNO akan dapat menjadi gerakan pembaharuan yang progresif, bersifat sezaman, lebih berkemajuan dan bersandarkan syiar Islam yang sebenar,” katanya.

Lebih 500 tetamu hadir seminar sehari itu termasuk anggota UMNO, Badan Bukan Kerajaan (NGO), agensi kerajaan, badan profesional dan mahasiswa.

Menurut Mohamed Khaled, penganjuran seminar tersebut merupakan satu pendekatan berbeza yang dipilih oleh UMNO Johor dalam meraikan ulang tahun ke-70 parti keramat berkenaan.

Ia juga tepat pada masanya untuk seluruh anggota UMNO merenung sedalamnya dan mencari jalan dalam memantapkan parti tersebut, katanya.

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial