PPM PATAHKAN CUBAAN 21 PATI KELUAR SECARA HARAM DARI PERAIRAN KOTA TINGGI

Pasukan-Polis-Marin

JOHOR BAHARU – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua mematahkan cubaan 21 pendatang asing tanpa izin (PATI) dipercayai cuba menyeludup keluar dari negara ini di perairan Punggai, Sungai Rengit, dekat Kota Tinggi, awal pagi Selasa.

Komandernya ACP Paul Khiu Khon Chiang berkata penahanan 18 lelaki dan tiga wanita rakyat Indonesia itu dilakukan kira-kira 2.30 pagi oleh anggota PPM melalui Ops Pensura.

"Bertindak atas maklumat, anggota bot ronda PPM berjaya mengesan sebuah bot laju dari arah pantai Punggai menuju ke perairan Indonesia.

"Setelah kejar-mengejar kira-kira 15 minit, bot laju itu bertindak menghala ke daratan dan tersadai di pantai," katanya dalam kenyataan di sini.

Khiu berkata anggota bot ronda PPM ternampak dua individu dipercayai tekong dan pembantu tekong terjun ke laut sebelum menghilangkan diri ke kawasan hutan berhampiran.

Bagaimanapun, katanya usaha mengesan kedua-dua suspek di kawasan sekitar gagal.

Khiu berkata hasil pemeriksaan terhadap bot laju tersebut menemui 21 PATI berumur antara 20 dan 40 tahun.

"Kesemua mereka termasuk bot laju itu dibawa ke Pangkalan PPM Pengerang untuk tindakan lanjut," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 pindaan 2002 kerana cuba keluar dari Malaysia melalui laluan tidak diwartakan, selain tidak memiliki dokumen perjalanan sah serta Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Atipsom) kerana penyeludupan migran.

Sehubungan itu, Khiu berkata pihaknya memberi amaran kepada PATI yang cuba keluar dari negara ini melalui jalan laut secara tidak sah, agar tidak mengambil risiko kerana laut bergelora pada musim tengkujuh.

Beliau berkata komuniti persisiran pantai juga dinasihati supaya mengambil langkah keselamatan lebih tinggi semasa menjalankan aktiviti laut atau di persisiran pantai pada musim tengkujuh ini. – BERNAMA
 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial