PRESTASI SEMASA PEMAIN JADI PETUNJUK DOLLAH

141214b

KUALA LUMPUR – Baharu atau lama bukan menjadi persoalan sebaliknya pengendali Harimau Malaya, Dollah Salleh lebih menitikberatkan prestasi semasa pemain yang dipilihnya untuk menggalas cabaran negara bagi menghadapi aksi ketiga Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019.

Dollah berkata dia sedar setiap kali pemilihan pemain dilakukan pasti akan ada segelintir pihak yang cuba mempersoalkan keputusannya namun bekas pengendali Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu yakin pilihannya adalah yang terbaik.

Kali ini, Dollah memilih untuk menggunakan enam muka baharu yang bakal menyarung jersi kebangsaan, iaitu penyerang Harimau Muda B, Syahrul Azwari Ibrahim, Amirizdwan Taj Tajuddin, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Nor Farhan Muhammad dari Kelantan serta dua pemain Perak, Idris Ahmad dan Nurridzuan Abu Hassan.

“Ini jadi soalan susah, kenapa awak (media) cakap macam itu (apabila pemain baharu dipanggil), sebab apa bagi saya panggilan dibuat adalah berdasarkan prestasi pemain itu sendiri.

“Untuk pemain muda pula saya sendiri berbincang dengan jurulatih mereka dan bertanya adakah mereka (pemain muda) patut dipanggil untuk menggalas cabaran negara sebab saya dapat maklumat bahawa pemain tersebut bagus. Saya bukan terpaksa tapi saya pilih mereka berdasarkan prinsip saya iaitu pilih yang terbaik.

“Tapi ramai pertikaikan kepada pengambilan pemain senior, saya pun tak faham mengapa. Tapi saya tetap ikut kepada prestasi pemain. Saya tidak fikir pun pemain itu muda atau tua cuma saya berpandukan kepada prestasi pemain.

“Kalau nak cerita muda ada juga pemain senior yang saya panggil macam Taj, Afif (Amiruddin), Amri Yahyah dan Farhan. Jadi saya nak gabungkan pemain muda dan baharu. Bagi saya, dalam kepala otak saya tidak fikir pun pemain itu baharu atau lama, cuma saya mahukan yang terbaik,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Tambah Dollah dia bakal menghadapi masalah untuk melakukan persediaan apabila empat pemain Pahang yang dipanggil akan hanya menyertai kem latihan lewat dan diminta melapor diri pada 29 Ogos sebaik sahaja mereka pulang dari Dushanbe, Tajikistan kerana terlibat dalam Piala AFC. Sesi latihan skuad negara bermula pada Ahad ini.

“Masalah sekarang Pahang dan Johor Darul Ta’zim (JDT) terlibat dengan Piala AFC. Nak melakukan persiapan pun susah sebab saya tiada pemain daripada pasukan tersebut,” katanya.

Pahang bakal berdepan kelab dari Tajikistan, Istiklol dalam perlawanan pertama suku akhir Piala AFC di tempat lawan pada 26 Ogos manakala JDT menentang South China di Johor Bahru pada 25 Ogos.

Skuad negara bakal menentang Bangladesh dalam perlawanan persahabatan kelas A di Stadium Shah Alam pada Sabtu depan sebagai sebahagian persiapan menghadapi Amiriyah Arab Bersatu pada 3 September dan Arab Saudi lima hari kemudian.
Senarai pelatih skuad negara
PENJAGA GOL: Zamir Selamat (Perak), Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan), Khairul Azhan Khalid (Pahang) .

PERTAHANAN: Afif Amiruddin (PDRM), Yong Kuong Yong (Pulau Pinang), Zubir Azmi (Terengganu), Nazirul Naim Che Hashim (Harimau Muda B), S. Kunanlan (JDT), Idris Ahmad (Perak), Amirizdwan Taj Tajuddin (Kelantan), Mohd. Razman Roslan (Pahang), Matthew Davies (Pahang).

TENGAH: Baddrol Bakhtiar (Kedah), Joseph Kalang Tie (Sarawak), Ahmad Syamim Yahya (Felda United), Ahmad Hazwan Bakri (Selangor), Mohd. Safiq Rahim (JDT), Nurridzuan Abu Hassan (Perak), Nasir Basharuddin (Perak), Wan Zack Haikal Wan Nor (Kelantan), Azamuddin Akil (Pahang).

PENYERANG: Amri Yahyah (JDT), Norshahrul Idlan Talaha (Terenganu), S Kumaahran (Harimau Muda B), Syahrul Azwari Ibrahim (Harimau Muda B), Nor Farhan Muhammad (Kelantan). – UTUSAN MALAYSIA

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial