Program Industri Asas Tani ; Program Galakan Usahawan

Program Galakan Usahawan 4 Program Galakan Usahawan 6

 

Industri Kecil dan Sederhana yang berasaskan pertanian boleh membantu petani dan pengusaha meningkatkan pendapatan. Di samping produk pertanian sedia ada, pendapatan petani itu boleh dikembangkan lagi melalui penyertaan dalam bidang keusahawanan sekali gus mempelbagaikan hasil kebun petani.Tanaman pisang misalnya, selain pekebun itu menjual terus pisang kepada peraih, ia boleh diproses dan dijadikan produk sampingan lain seperti pisang salai dan kerepek. Walau bagaimanapun kebanyakan pengusaha perlu diberi bimbingan dan bantuan dari segi peralatan, pembungkusan dan pemasaran.

Menyedari hakikat itu, Kerajaan Johor melalui jabatan dan agensinya menyediakan pelbagai bentuk insentif dan bantuan bagi membantu golongan usahawan di negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ismail Mohamed, berkata Kerajaan Negeri komited membantu para usahawan bagi membolehkan mereka maju dalam perusahaan mereka.

“Setiap tahun, melalui Pejabat Menteri Besar Johor sejumlah RM3 juta diperuntukkan kepada Jabatan Pertanian Negeri bagi Program Galakan Usahawan sebagai satu daripada langkah membantu membangunkan Projek Usahawan dan Industri Kecil Pertanian di dalam Negeri Johor,’ katanya kepada Jauhar baru-baru ini. Terdapat tiga bentuk bantuan di bawah Program Galakan Usahawan iaitu ProjekIndustriKecil(PIK), Projek Pembangunan Tanah Terbiar (PPTT) dan Skim Pinjaman Satu Mukim Satu Industri (SMSI).

Projek Industri Kecil(PIK)

Bantuan PIK merupakan pemberian terus (Grant) dalam bentuk bantuan mesin, peralatan, bengkel dan kelengkapan lain bagi pemohon yang menjalankan projek industri kecil.  Mereka yang ingin memohon bantuan ini perlu mengusahakan Industri Kecil yang mempunyai nilai pengeluaran sekurang-kurangnya RM 20,000 hingga RM100,000 setahun. Had maksima bantuan diberikan kepada pemohon individu yang berjaya ialah sebanyak RM8,000 manakala untuk permohonan berkumpulan RM 15,000.  Pada 2031, sebanyak 614 pengusaha industri kecil telah mendapat manfaat daripada program itu dengan nilai RM 1,744,510.

Projek Pembangunan Tanah Terbiar (PPTT)

Antara syarat yang diperlukan untuk memohon bantuan PPTT adalah tanah yang tidak pernah diusahakan melebihi tiga tahun sejak dikurniakan oleh kerajaan atau tanah yang yang pernah diusahakan tetapi kemudian ditinggalkan terbiar selama lebih tiga tahun berturut-turut. Selain itu, tanah itu mesti bermilik atau mendapat kebenaran melalui perjanjian tuan tanah manakala status tanah mesti dibuktikan dengan dokumen yang jelas. Pemohon mestilah berumur 18 tahun ke atas dan belum pernah mendapat bantuan PPTT. Melalui PPTT, kawasan tanah yang terbiar akan dimajukan dengan tanaman makanan sama ada tanaman kekal  atau tanaman singkat masa.

Skim Pinjaman Satu Mukim Satu Industri (SMSI)

Pinjaman SMSI adalah pinjaman dalam bentuk mudah tanpa cagaran(kecuali yang melebihi RM 50,000) atau penjamin dan tidak dikenakan faedah sebaliknya hanya dikenakan bayaran perkhidmatan sebanyak 3% oleh Agro Bank Malaysia setahun dikira berasaskan baki tahunan. Berdasarkan pemantauan berkala yang dilakukan, ke atas pengusaha industri kecil dan sederhana ini, rata-rata nilai jualan bagi perniagaan mereka mencecah sehingga RM3,000.00 ke atas sebulan.

Setelah menerima bantuan daripada program ini, tindakan susulan ialah memberi bimbingan dan dorongan dengan mengadakan kursus pembangunan usahawan dimana urusetia menyelitkan slot pengurusan produk, masa dan kewangan. Selain itu, penekanan dalam aspek Amalan Pengilangan Baik (GMP), Persijilan Halal dan “bar coding” turut dititik beratkan. 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial