Program “Job Coach” Bantu OKU Dapat Pekerjaan

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Asiah Md Ariff.

ISKANDAR PUTERI, 15 Mei – Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor melaksanakan Program ‘Job Coach’ kepada golongan sasar bagi memperkasa dan menghakupayakan OKU, terutama dalam peluang pekerjaan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Asiah Md Ariff, Kerajaan Negeri amat prihatin kepada kebajikan golongan OKU terutama dalam meningkatkan taraf hidup mereka melalui peluang-peluang pekerjaan di sektor awam mahupun swasta.

“Melalui program Job Coach di bawah Unit Penempatan Pekerjaan Orang Kurang Upaya YPKDT, OKU akan dibantu oleh dua orang jurulatih YPKDT dengan mencari serta memadankan jawatan yang bersesuaian mengikut kelayakan dan keupayaan OKU di daerah masing-masing.

“Namun, peluang pekerjaan dan jawatan adalah bergantung kepada tawaran oleh pihak majikan. Apabila seseorang OKU itu diterima bekerja, mereka akan dibimbing oleh jurulatih dan dibantu oleh penyelia semasa proses penempatan pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan pada persidangan Dewan Negeri Johor ke-13 di Kota Iskandar, semalam.

Tambah Asiah, majikan turut dimaklumkan bahawa pembayaran gaji terhadap pekerja OKU adalah sama sepertimana pekerja-pekerja lain.

“Potongan elaun seperti KWSP, SOCSO, turut diambil kira atas kebajikan pekerj OKU. Dengan adanya Job Coach, pihak majikan tidak akan sewenang-wenangnya melakukan diskriminasi terhadap golongan ini.

“Pembukaan peluang pekerjaan kepada OKU ini dapat meningkatkan keyakinan, meningkatkan taraf hidup kerana memperolehi pendapatan sendiri dan seterusnya membuka minda mereka untuk terus maju,” ujar beliau.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial