Program Kesukarelawan di Kalangan Belia

Program Sukarelawan merupakan program yang memberi fokus kepada program kepimpinan kesukarelaan belia bagi melahirkan pemimpin yang mempunyai ciri-ciri kesukarelaan tahap tinggi.

Melalui program ini, seramai 60 orang pemimpin sukarela dari kalangan belia yang benar-benar berkualiti dan memiliki nilai-nilai kesukarelaan tinggi akan dilahirkan dalam tempoh setahun dan
seterusnya.

Program Sukarelawan ini telah lama diwujudkan di Negeri Johor. Program ini dikawal selia oleh Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan, Datuk Zulkurnain Kamisan, program ini diwujudkan bagi menggalak dan meningkatkan semangat kesukarelaan dikalangan belia melalui pengalaman serta inisiatif sendiri dalam melaksanakan tugasan kesukarelaan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Di samping itu, katanya program ini juga mampu memupuk semangat kesedaran dalam diri belia mengenai isu-isu semasa.

Melihat kepada sambutan yang amat menggalakkan terhadap program sukarelawan sedia ada ini, Kerajaan Negeri melalui pembentangan Bajet 2014 baru-baru mengambil langkah untuk menggalakkan lagi inisiatif kesukarelawanan.

Jelas Zulkurnain, galakan dari kerajaan ini merupakan antara usaha Kerajaan Negeri Johor dalam memperkasakan tanggungjawab dan memberi ruang kepada belia untuk lebih berinovasi dan kreatif.

“Dengan adanya inisiatif dari Kerajaan Negeri untuk meningkatkan lagi program ini, saya percaya ia merupakan galakan secara langsung dari pihak kerajaan kepada gerakan sukarelawan sedia ada sama ada bersifat individu, kumpulan, pertubuhan belia, kerajaan, dan GLC supaya bersaing bagi membantu masyarakat melalui pelbagai aspek seperti kebajikan, alam sekitar, keagamaan, dan sebagainya,” katanya.

“Program ini juga menjadi medium untuk belia mengetengahkan inovasi dan kreativiti yang boleh menguntungkan persekitaran dan belia itu sendiri,” katanya.

Menerusi Program Sukarelawan, setiap belia akan melalui dan dididik dengan tiga elemen penting iaitu latihan, pusat sumber dan pelaksanaan aktiviti.

Penekanan terhadap tiga elemen ini adalah penting sebagai bekalan kepada belia untuk mempunyai ilmu ketika berkhidmat kepada masyarakat dan menjadi pemimpin yang berketrampilan dan sarat dengan maklumat.

Dengan adanya program seumpama ini, ia secara tidak langsung dapat mengurangkan masalah sosial yang membabitkan golongan belia dan jalinan perpaduan antara kaum dapat dieratkan melalui aktiviti-aktiviti yang telah diatur di dalam program sukarelawan.

“Menjadi harapan Kerajaan Negeri supaya melalui program ini, ia dapat mewujudkan satu kumpulan sukarelawan belia yang berkemahiran, berpengalaman dan mempunyai sikap terpuji.

“Ini secara tidak langsung merealisasikan hasrat kerajaan untuk melahirkan belia Johor yang memiliki peribadi bersepadu dari segi rohaniah, akliah dan jasmani, bertanggungjawab, berdikari bersemangat patriotik serta menjadi penggerak kepada kemajuan dan kemakmuran
bangsa, agama dan negara,” katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial