Program Pembangunan Atlet Johor 2015

IMG_1338resizeIMG_1211resize

 

Melibatkan peserta seawal usia 10 tahun

Oleh Sofiayana Ellmy Sukor

PERKEMBANGAN sukan di Johor semakin ketara dan rancak apabila pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya membawa pulang piala Liga Super Malaysia 2014, Ogos lalu.

Stadium Tan Sri Dato’ Hassan Yunos yang sekian lama lengang kini sesak dibanjiri peminat bola sepak JDT. Setiap kali perlawanan yang membabitkan pasukan Johor, stadium ini sesak dengan kira-kira 30,000 penonton yang majoritinya penyokong setia pasukan tuan rumah.

Situasi ini amat membanggakan dan mendorong Kerajaan Negeri untuk terus membangunkan sukan di Johor, supaya bidang itu tidak hanya tertumpu kepada bola sepak sahaja.

Pencapaian atlet dalam beberapa acara lain turut menunjukkan peningkatan. Pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2012, Johor hanya memperolehi 18 pingat emas tetapi pada kejohanan sama pada 2014, Johor meningkatkan pencapaian dengan meraih 23 pingat emas termasuk empat rekod baharu dicatatkan.

Perkembangan ini amat meyakinkan Kerajaan Negeri untuk terus menyokong bidang sukan dan melatih lebih ramai atlet muda dalam setiap acara sukan. Ini kerana, pembangunan sukan yang berterusan mampu melahirkan atlet yang unggul dan mempunyai daya saing yang tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan, Dato’ Zulkurnain Kamisan, berkata bagi mencari atlet muda yang unggul dan berketerampilan, Kerajaan Negeri kini dalam usaha untuk mewujudkan program pembangunan sukan seawal umur 10 tahun berbanding lebih memfokuskan kepada atlet berumur 17 tahun dan ke atas sebelum ini kerana tujuannya untuk menyediakan atlet bagi menyertai sesuatu kejohanan.

“Bermula 2015, Kerajaan Negeri Johor akan mula mencungkil bakat atlet dengan lebih awal seawal umur 10 tahun lagi. Pembangunan yang dilakukan lebih awal sebegini mampu meningkatkan tahap pencapaian seseorang atlet ke tahap lebih maksimum,” katanya.

Bagi tujuan ini, Majlis Sukan Negeri Johor diberi tanggungjawab menerajui program pembangunan atlet di peringkat awal yang akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor.

Untuk permulaan, beberapa sekolah angkat sukan akan dipilih di setiap daerah dan  memfokuskan beberapa jenis sukan mengikut kesesuaian.

Zulkurnain berkata, kejohanan sukan di peringkat daerah juga akan dilaksanakan dengan lebih kerap supaya atlet ini mampu bersaing seterusnya meningkatkan keupayaan mereka ke tahap lebih tinggi.

“Sukan padang dan balapan akan diberi keutamaan memandangkan keperluan pembangunan kerana Malaysia kini semakin ketinggalan dalam sukan ini sama ada di peringkat Asia Tenggara mahupun tahap kejohanan sukan lebih tinggi.

“Bakat-bakat atlet perlu dicungkil sekarang dan kemampuan mereka perlu terus dipantau dan ditingkatkan supaya menjelang SUKMA 2020, atlet ini sudah benar-benar matang bersedia dan berada pada tahap kemampuan yang tinggi,” katanya.

Mengulas kecemerlangan atlet Johor di peringkat nasional, beliau berkata pencapaian itu tidak terbatas di peringkat Malaysia malah ada yang mewakili negara ke kejohanan Sukan Komenwel.

Sejajar dengan usaha itu, Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin dalam ucapan Bajet Johor 2015, berkata RM3 juta akan diperuntukkan untuk Program Pembangunan Atlet seawal 10 tahun bagi menyokong atlet bola sepak, sepak takraw serta sukan padang dan balapan sebagai inisiatif permulaan.

Bagi memantapkan lagi kemudahan sukan trek padang dan balapan, Stadium di Taman Mount Austin akan dibina melalui kaedah penswastaan dengan peruntukan RM60 juta, manakala Iskandar Motorsport City and Fast Track akan dibangunkan dengan kos RM3 bilion.                                        

Sementara itu, Kerajaan Negeri akan membina serta menaiktaraf stadium serta kemudahan sukan di Johor, di mana Stadium Larkin akan dinaiktaraf secara berfasa di bawah pembangunan Larkin Central Park oleh Johor Corporation mulai 2015 dengan kos RM40 juta, manakala RM20 juta diperuntukkan bagi menaiktaraf arena akuatik dan RM60 juta untuk pembinaan Stadium Tertutup di Larkin.

Malah, bagi merancakkan lagi pembangunan sukan di negeri ini, peruntukan RM11 juta telah disalurkan bagi pembinaan 56 gelanggang serbaguna dan 30 Gym Muafakat Johor. 

YB Zul infographic

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial