Program Rebat Air

 

Dalam pembentangan Bajet 2014, Kerajaan Negeri Johor bersetuju untuk meningkatkan pemberian rebat air daripada 20 meter padu kepada 35 meter padu. 

Pengumuman yang dibuat oleh Menteri Besar Johor, Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin itu disambut gembira oleh rakyat Johor kerana ia secara tidak langsung dapat mengurangkan beban rakyat berpendapatan rendah.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ir Haji Hasni Haji Mohamad, berkata pemberian rebat ini akan bermula pada awal tahun 2014 dan senarai penerima program rebat air ini akan diselaraskan melalui sistem e-kasih.

“Mereka yang telah berdaftar dengan e-kasih secara automatiknya layak menerima rebat ini. Selain itu, saya juga telah meminta pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Agama Islam Johor untuk memberikan senarai nama penerima yang layak dan berdaftar dengan mereka sebelum hujung Disember 2013.

“Ini penting supaya mereka yang benar-benar layak menikmati rebat ini tidak terlepas dari menerimanya,” katanya. 

Menjawab kepada soalan yang dibangkitkan oleh sesetengah pihak mengapa rebat air ini tidak diberikan kepada semua rakyat Johor, beliau berkata ia adalah langkah tidak wajar dan ia berbalik kepada persepsi rakyat terhadap barang yang diperolehi secara percuma. 

“Air merupakan satu keperluan asasi dan amat penting dalam kehidupan manusia, ia juga sebagai nadi penggerak pembangunan dan ekonomi negara.

“Apabila air dianggap tidak bernilai dan murah, maka masyarakat bertendensi untuk menggunakan air secara membazir serta hilang kepekaan dan sensitiviti untuk menjimatkan air,” katanya. 

Melalui pemberian rebat air 20 meter padu, Kerajaan Negeri membelanjakan RM120 ribu setahun bagi menampung pemberian rebat ini kepada 747 keluarga dari golongan miskin dan 44 golongan miskin tegar.

Namun, jumlah ini bertambah apabila pemberian rebat air percuma ditingkatkan kepada 35 meter padu. Dijangkakan 5,000 orang golongan sasaran layak menerima rebat ini dan Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2.4 juta setahun bagi menampung kos ini. 

Jelas Hasni, langkah yang dibuat oleh Kerajaan Negeri ini adalah untuk mengurangkan beban rakyat, di samping memastikan bekalan air bersih 100% dapat dinikmati menjelang tahun 2017.

“Pemberian rebat ini adalah bagi membantu golongan sasaran untuk memastikan ekonomi keluarga terbabit adalah pada tahap kemampuan dan dapat menikmati kemudahan bekalan air seiring  dengan masyarakat sekeliling walaupun tergolong dalam kumpulan miskin dan miskin tegar. 

“Bekalan air bersih di Johor telah meliputi kira-kira 99.7% kawasan bandar dan juga luar bandar. Selebihnya adalah kawasan yang terletak dipedalaman dan juga penempatan Orang Asli,” katanya. 

Jelas Hasni, sasaran kerajaan itu bukan sahaja tertumpu kepada akses bekalan air, tetapi juga merangkumi kualiti air serta tahap perkhidmatan yang setanding dengan negara maju.

Di Johor, bekalan air bersih di uruskan oleh Syarikat Air Johor atau SAJ. Melalui rekod yang dikeluarkan oleh syarikat ini, penggunaaan air oleh pengguna domestik di Johor pada tahun 2012 adalah 221 liter air perkapita sehari, dan pada Jun 2013, ianya mencatatkan sehingga 302 perkapita sehari. 

Bagi memastikan kualiti dan sumber bekalan air terpelihara, Kerajaan Negeri akan terus melakukan penambah baikan dan perbincangan bersama SAJ akan diteruskan supaya tidak timbul sebarang masalah pada masa hadapan. 

Di samping itu, Kerajaan Negeri sedang mengambil beberapa langkah dan inisiatif untuk membantu rakyat meringankan beban membayar bil air. 

“Pihak kerajaan dengan kerjasama SAJ selaku pembekal air bersih telah berusaha untuk mengurangkan kos pemprosesan air bersih serta kebocoran pada mana-mana paip. Dengan cara ini, caj air dapat dikurangkan dan beban rakyat juga dapat diringankan,” katanya.

 Jelas Hasni, Negeri Johor mempunyai kira-kira 25% lebihan sumber air yang tidak digunakan.

 “Walaupun terdapat lebihan ini, ia tidak bermakna kita boleh sewenang-wenangnya melakukan pembaziran air. Penggunaaan air secara berhemah adalah sangat penting untuk menjamin kemampanan bekalan sumber air yang berterusan pada masa akan datang. Pendekatan ini penting supaya generasi akan datang juga tidak dibebani masalah kekurangan bekalan air,” katanya.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial