PROJEK HSR, RTS AKAN DITERUSKAN – KHALED NORDIN

photo_2015-09-11_20-02-39

NUSAJAYA – Kerajaan akan meneruskan rancangan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dan Sistem Transit Rapid (RTS) kerana ia bakal memberikan manfaat bukan sahaja kepada rakyat tetapi juga kepada kedua-dua negara pada masa hadapan, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata meskipun kedua-dua projek itu belum mendesak, keputusan untuk merealisasikannya adalah bertujuan menyediakan dan menambah baik sistem pengangkutan antara kedua-dua negara bagi kegunaan rakyat bersama.

"Bagi kerajaan Barisan Nasional (BN), kita akan buat kedua-duanya. Perkara itu kini sedang dibincang kerana melibatkan kedua-dua negara Malaysia dan Singapura.

"HSR dijangka siap pada tahun 2025 manakala RTS akan dimulakan dahulu, untuk hubungkan perjalanan rakyat kedua-dua negara. HSR lebih kepada perkhidmatan ke Kuala Lumpur. Kerajaan BN akan pasti merealisasikan kedua-duanya," kata beliau pada mesyuarat kedua penggal persidangan ketiga Dewan Negeri Johor yang ke-13 di Kota Iskandar, di sini, Khamis.

Mohamed Khaled berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Boo Cheng Hau (Skudai-DAP) yang mempersoalkan sama ada keperluan kedua-dua projek itu lebih praktikal atau mendesak kerana mahu menarik pelaburan Singapura ke negara ini.

Pada masa ini, kedua-dua kerajaan sedang memuktamadkan jajaran landasan projek RTS dan lokasi terminal bagi kedua-dua negara.

Projek RTS dijangka dapat mengurangkan kesesakan laluan keluar masuk Malaysia Singapura khususnya Tambak Johor dan Gelang Patah-Tuas manakala HSR bakal memendekkan tempoh perjalanan antara kedua-dua ibu negara kepada hanya 90 minit berbanding kereta api biasa iaitu lapan jam.- BERNAMA
 

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial