Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-JB bermula November

SEGAMAT, 30 Okt – Pembinaan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (EDTP) yang menelan kos keseluruhan sebanyak RM7.13 bilion akan dimulakan November ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata pembinaan projek membabitkan jajaran landasan sepanjang 197 kilometer (km) itu akan mengambil masa empat tahun untuk disiapkan dan dijangka beroperasi penghujung 2020.

“Proses pengambilan tanah untuk projek berkenaan sudah selesai dan dimuktamadkan sejak lima tahun lalu.

Apabila siap EDTP nanti, ia akan beri kesan lonjakan ekonomi yang besar kepada Johor dan memanfaatkan rakyatnya.

“Pembinaan EDTP turut menggunakan teknologi baharu dan dijangka ia mampu mengurangkan zon penampan landasan berkembar dan dapat menjimatkan tanah di kawasan pembinaan landasan.

“Saya akan melihat semula pengambilan tanah di beberapa kawasan terbabit berikutan terdapat rayuan daripada penduduk setempat yang merayu pengambilan tanah milik mereka dikurangkan,” katanya selepas melawat Tokong Pertubuhan Penganut Dewa Tai Poh Yah, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan Dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong. Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Kerajaan Pusat akan meneruskan projek itu seperti dibentangkan dalam Bajet 2016.

Tahun lalu, kerajaan mengumumkan Malaysia meluluskan projek landasan berkembar elektrik Gemas-Johor Bahru itu kepada China Railway. – Berita Harian

 

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial