PROJEK PEMINDAHAN AIR DILULUSKAN, MASALAH CATUAN AIR BAKAL SELESAI

JOHOR BAHRU, 6 Mac — Kerajaan Pusat meluluskan permohonan pelaksanaan projek pemindahan air dari Projek Air Mentah Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia (PAMER) ke Empangan Sungai Layang, dalam usaha menangani masalah catuan air melibatkan 580,000 rakyat di negeri ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bagaimanapun Kerajaan Negeri Johor perlu membelanjakan terlebih dahulu keperluan pelaksanaan projek berkenaan sebanyak RM100 juta.

Katanya, perbelanjaan tersebut kemudian akan ditolak daripada hutang kerajaan negeri kepada kerajaan pusat.

“Permohonan daripada kerajaan Johor yang dikemukakan oleh Menteri Besar Johor Dato’ Mohamed Khaled Nordin dan diluluskan ini, akan mengatasi masalah catuan air yang dijangka mungkin menjadi lebih kritikal pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Johor di Galleria@Kotaraya, di sini, pada Ahad.

Tambah beliau, dengan pembangunan pesat yang berlaku di bandar raya ini dan Iskandar Malaysia, maka peningkatan kemudahan asas seperti bekalan air di kawasan terbabit perlu dilaksanakan menerusi projek ini.

Terdahulu, Mohamed Khaled dalam ucapannya memohon agar kerajaan pusat mempertimbangkan projek pemindahan air tersebut atau membenarkan Kerajaan Negeri mendahulukan perbelanjaan itu dengan jaminan Kerajaan Pusat akan membayar semula kepada Kerajaan Negeri atau memotong hutang Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Pusat.

Katanya, cadangan projek pemindahan air itu memerlukan perbelanjaan kira-kira RM100.6 juta dan bagi penyelesaian jangka masa panjang, projek berkenaan perlu dilakukan agar masalah catuan air ini tidak berulang.

Facebooktwitter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial